hamden14/09/2026 - 12:58 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept - Malaysia dan Thailand hari ini menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) dan Perjanjian Jualan Gas (GSA) baharu bagi Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).
PSC Blok A-18-01 dimeterai antara MTJA, PC JDA Limited dan PTTEP JDX, manakala GSA turut melibatkan PETRONAS dan PTT Public Company Limited.
Majlis yang berlangsung bersempena Gastech 2026 di Bangkok disaksikan oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul; Menteri Tenaga Thailand, Akanat Promphan; serta Menteri Ekonomi Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Akmal Nasrullah berkata, kemajuan yang dicapai menerusi Blok A-18-01 turut menyediakan asas kukuh bagi meneruskan pembangunan MTJDA.
"Momentum yang terhasil hari ini seharusnya membuka laluan kepada fasa seterusnya dalam pembangunan PSC dan GSA baharu bagi Blok B-17-01, ketika kita terus membuka sepenuhnya potensi MTJDA untuk manfaat kedua-dua negara.
“MTJDA mencerminkan hampir lima dekad kerjasama antara Malaysia dan Thailand yang dibina atas dasar kepercayaan, saling menghormati dan kepentingan bersama.
"Ia menunjukkan bagaimana sumber yang dikongsi bersama boleh dibangunkan dalam rangka kerja yang stabil bagi mewujudkan nilai untuk kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Komitmen Jangka Panjang
Beliau menambah, bagi meneruskan pembangunan Blok A-18-01, Malaysia turut mengharapkan rakan industri dan kontraktor membawa modal, teknologi, kepakaran serta komitmen jangka panjang yang diperlukan untuk membangunkan sumber berkenaan secara berdaya maju dari segi komersial dan bertanggungjawab.
Katanya, perjanjian baharu itu memastikan kesinambungan pembangunan blok berkenaan, selain memperkukuh keyakinan pelabur dan menyokong keselamatan tenaga kedua-dua negara.
"Pembangunan itu hadir pada masa penting memandangkan gas asli terus memainkan peranan utama dalam sistem tenaga dan pertumbuhan sosioekonomi Malaysia.
"Gas asli diunjurkan menyumbang 56% daripada Jumlah Bekalan Tenaga Utama (TPES) Malaysia menjelang 2050," katanya.
Sementara itu Akanat Promphan menyifatkan MTJDA sebagai model kerjasama dua hala yang berjaya, berasaskan kepercayaan dan kepentingan bersama.
Beliau berkata, perjanjian itu potensi merangsang pelaburan, menyokong pembangunan mampan dan menyumbang kepada kemakmuran bersama. - DagangNews.com






