YKM salur bantuan khas Kaamatan dan Gawai

LocalSales & Promo
22 May 2026 • 5:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: YKM salur bantuan khas Kaamatan dan Gawai
Ismail (tengah) bersama YKM salur bantuan khas Pesta Kaamatan, Hari Gawai kepada penerima bantuan yayasan itu.

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan disambut bermula 30 Mei hingga 2 Jun ini, Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan menyalurkan bantuan khas perayaan kepada penerima bantuan YKM yang menyambutnya.

Bantuan khas sebanyak RM300 itu disalurkan kepada 19 anak YKM yang terdiri daripada masyarakat Kadazan Dusun, Murut dan Rungus di Sabah serta Dayak di Sarawak.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing bermula Jumaat.

“YKM kekal komited memberi bantuan kepada seluruh penerima bantuan yang akan menyambut perayaan terbesar atau terpenting di negara ini, termasuk sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, mencerminkan semangat Keluarga Malaysia.

“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban setiap keluarga kerana kita mahu setiap penerima YKM dapat menyambutnya dengan kegembiraan bersama seluruh ahli keluarga,” katanya.

Bekas Perdana Menteri kesembilan itu turut menyeru semua pihak termasuk komuniti setempat terutama di kawasan pedalaman supaya membantu menyampaikan maklumat mengenai bantuan tersebut kepada golongan yang terkesan akibat Covid-19 dengan menghubungi YKM di talian 03-22027493.