amree28/10/2026 - 09:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt — YNH Property Berhad berjaya mengelakkan risiko penggulungan anak syarikat milik penuhnya, YNH Construction Sdn Bhd, selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersetuju menarik balik petisyen penggulungan subsidiari berkenaan.
Menurut kenyataan kumpulan tersebut, langkah berkenaan dicapai susulan penyelesaian isu liabiliti cukai tertunggak yang berjaya dimuktamadkan antara kedua-dua pihak baru-baru ini.
Sebelum ini, LHDN pernah memfailkan petisyen penggulungan pada Mac 2026 berikutan tunggakan cukai subsidiari tersebut berjumlah RM7.21 juta daripada YNH Construction.
Bagaimanapun, tiada sebarang perintah penggulungan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi semasa perbicaraan yang berlangsung pada Julai 2026.
Kenyataan YNH Property memaklumkan bahawa LHDN sudah mengesahkan perkara tersebut menerusi surat rasmi bertarikh 23 Oktober 2026.
"Surat berkenaan mengesahkan petisyen penggulungan tersebut akan ditarik balik susulan perbincangan dan komitmen berterusan daripada syarikat," jelas kumpulan berkenaan.

Mengikut syarat penyelesaian yang dipersetujui pada Julai 2026, YNH Construction dikehendaki untuk menjelaskan isu tunggakan cukai RM5.16 juta sebelum 10 September 2026.
Sebagai balasan, LHDN bersetuju membatalkan penalti cukai yang berjumlah RM1.71 juta, tertakluk kepada kepatuhan penuh syarat penyelesaian.
Berbekalkan kelonggaran dan penyelesaian ini, YNH Property kini memberi tumpuan penuh kepada pelaksanaan projek pembangunan hartanah yang sedia ada.
Antara projek utama yang menjadi fokus termasuk Solasta Dutamas di Kuala Lumpur serta pembangunan bandar di Seri Manjung, Perak, di samping inisiatif penjanaan nilai aset.
Saham YNH Property pada 27 Oktober 2026 ditutup tidak berubah kepada 30.5 sen, sekali gus meletakkan nilai pasaran kumpulan sebanyak RM164.23 juta. - DagangNews.com



