Pemilik Palace of the Golden Horses berdepan petisyen gulung tikar babitkan tuntutan RM312,653

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 3:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemilik Palace of the Golden Horses berdepan petisyen gulung tikar babitkan tuntutan RM312,653 Image from: Pemilik Palace of the Golden Horses berdepan petisyen gulung tikar babitkan tuntutan RM312,653 liza02/10/2026 - 15:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt – Anak syarikat Country Heights Holdings Bhd, Golden Horse Palace Bhd (GHPB) yang mengendalikan hotel Palace of the Golden Horses di The Mines berdepan petisyen penggulungan berhubung dua keputusan Mahkamah Perusahaan yang belum diselesaikan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Country Heights berkata petisyen itu difailkan oleh Josita Ket Kang En @ Karlen di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam pada 22 September 2026 dan diserahkan kepada GHPB pada 1 Oktober 2026.

 

Menurut Country Heights, tuntutan berkenaan berpunca daripada dua keputusan Mahkamah Perusahaan yang memihak kepada pemohon dalam kes terhadap GHPB, dengan jumlah keseluruhan yang dituntut sebanyak RM312,653.

 

 

 

 

 

 

“Ia terdiri daripada jumlah penghakiman sebanyak RM279,510 setakat 27 Februari 2025 manakala baki RM33,143 merupakan faedah pada kadar 8% setahun bagi tempoh 30 Mac 2025 hingga 22 September 2026,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Country Heights berkata, faedah terhadap jumlah berkenaan terus terkumpul pada kadar RM62.26 sehari selepas 22 September 2026.

 

GHPB gagal selesaikan tuntutan dalam tempoh ditetapkan

Sebelum petisyen penggulungan itu difailkan, GHPB telah menerima tuntutan berkanun (statutory demand) pada 21 Julai 2026 yang menghendakinya menyelesaikan jumlah tertunggak, memberikan jaminan atau membuat penyelesaian terhadap hutang berkenaan dalam tempoh 21 hari.

 

Bagaimanapun, menurut petisyen tersebut, GHPB gagal membayar, menjamin atau menyelesaikan jumlah berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Country Heights berkata, GHPB kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung perkara itu dan mempertimbangkan langkah sewajarnya bagi melindungi kepentingannya.

 

Petisyen tersebut ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi Malaya pada 8 Disember 2026.

 

GHPB merupakan anak syarikat milik 80.90% Country Heights dan mengendalikan hotel Palace of the Golden Horses di The Mines.

 

 

 

Country Heights tidak jangka kesan operasi serta-merta

Country Heights berkata, jumlah pelaburannya dalam GHPB adalah kira-kira RM219 juta, menjadikan syarikat berkenaan antara anak syarikat utama kumpulan.

 

Walaupun berdepan petisyen penggulungan, Country Heights berkata perkara itu pada ketika ini tidak dijangka memberi kesan material serta-merta terhadap operasi syarikat.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved