
Kota Kinabalu: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee, menggesa pemimpin politik Sabah termasuk Presiden Star, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, agar terus memperjuangkan hak negeri tanpa gentar atau memilih bulu.
Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa taktik biasa kerajaan Persekutuan ialah menggunakan pendekatan “tongkat dan gula-gula” untuk melemahkan tuntutan Sabah yang sudah lama tertangguh bagi mendapatkan kembali hak serta sumbernya.
“Setelah 40 tahun dalam politik, berkhidmat dalam kerajaan dan pembangkang, saya boleh katakan dengan pasti bahawa rakyat Sabah kini menyaksikan satu lagi pusingan penggunaan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM sebagai senjata untuk menanam rasa takut dalam kalangan pemimpin Sabah supaya akur dengan garis pusat atau berdepan akibatnya.
“Secara mudahnya, akur dengan garis pusat bermakna tiada tindakan diambil terhadap pemimpin berkenaan. Menentang garis pusat boleh membawa kepada pendakwaan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.
Yong menegaskan beliau pernah mengalami situasi itu pada Jun 2008 ketika SAPP hampir meninggalkan Barisan Nasional (BN).
“Pada Mac 2008, BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen buat pertama kali. Saya menyifatkan ketika itu sebagai ‘Tingkap Peluang’ untuk Sabah menuntut kembali hak dan sumbernya.
“Apabila tersebar berita bahawa SAPP bersama dua Ahli Parlimennya akan mengumumkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika itu pada 18 Jun 2008, saya menerima surat bertarikh 17 Jun 2008 daripada Pejabat Perdana Menteri (bertanda RAHSIA) menamakan saya sebagai Senator,” katanya.
Beliau mendakwa pencalonan itu sebagai cubaan rasuah politik. “Saya rasa terhina dan menolak pencalonan tersebut. Keesokan harinya, SAPP meneruskan pengumuman undi tidak percaya terhadap PM.
“Namun, dua hari kemudian pada 20 Jun 2008, bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengumumkan saya disiasat kerana kes rasuah RM5 juta kononnya berlaku pada 1996 ketika saya Ketua Menteri. Saya tahu tuduhan itu tidak berasas. Ia jelas bertujuan menakut-nakutkan pemimpin politik lain daripada menyokong undi tidak percaya berkenaan. Dan nampaknya taktik itu berhasil,” ujarnya.
Yong berkata beliau sendiri menghubungi pengarah BPR Sabah untuk menawarkan hadir memberi kenyataan sebelum berlepas ke UK menghadiri majlis graduasi anaknya. Bagaimanapun, beliau dimaklumkan tiada rancangan untuk mengambil keterangannya.
“Inilah cara buli politik pusat berfungsi. Tetapi, buli ini hanya berjaya jika rakyat Sabah membenarkannya. Ia tidak akan berhenti, namun kita boleh menghentikannya dengan keberanian.
“Kita mesti ada pemimpin yang berani berdepan faktor ketakutan dan tidak mengharap layanan. Bila tiada rasa takut, taktik menakutkan tidak akan menjadi,” katanya.
Menurutnya, dalam memperjuangkan hak negeri, Sabah boleh bergantung pada Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas hubungan negeri-persekutuan, sama seperti sistem persekutuan di Kanada, India dan Australia.
“Apa yang penting bagi pemimpin Sabah ialah sentiasa ingat kata-kata bekas Presiden AS, John F. Kennedy: JANGAN TAKUT UNTUK BERUNDING, TETAPI JANGAN BERUNDING KERANA TAKUT,” tegasnya.

