YouTube Music 2024 Recap telah pun diaktifkan untuk majoriti pengguna secara berperingkat minggu ini. Satu rumusan lain yang tidak dijangka diperkenalkan YouTube turut tiba iaitu untuk YouTube Gaming dengan 2024 Recap tersendiri.

YouTube Gaming 2024 Recap akan memaparkan permainan paling kerap anda tonton, detik menarik dalam permainan, pencipta kandungan kerap ditonton, kad Gamer anda dan juga rumusan. Sama seperti YouTube Music, ia akan dipaparkan dalam bentuk Stories yang mana beberapa bahagian imejnya boleh dimuat turun untuk dikongsi ke media sosial atau simpanan peribadi.

Tiada ciri lain diberikan seperti senarai main video gaming atau senarai main video pencipta kandungan gaming kegemaran. Ia juga dilihat tidak diberikan secara meluas kepada semua pengguna dan mungkin masih berada di fasa awal. Adakah anda mahukan aktiviti gaming anda di YouTube dirumuskan seperti YouTube Music?
Untuk mengakses YouTube Gaming 2024 Recap anda perlu tekan ikon Discover di laman utama aplikasi untuk membuku menu sisi kanan, kemudian tekan Gaming atau Permainan dan Recap anda akan terus terpapar.

