amree23/09/2026 - 18:16 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept — YTL AI Labs melancarkan Nemotron-Personas-Malaysia, mengandungi 1.35 juta set data terbuka ciri sintetik mewakili kepelbagaian penduduk Malaysia, sekali gus membuka ruang penghasilan kecerdasan buatan (AI) yang memahami bahasa, budaya serta kehidupan rakyat tempatan.
Set baharu tersebut yang dibangunkan bersama-sama NVIDIA itu dihasilkan daripada 150,000 rekod asas menggunakan taburan dengan berasaskan statistik demografi rasmi Malaysia, merangkumi perbezaan populasi mengikut wilayah dan kumpulan masyarakat berbeza.
Menurut kenyataan YTL AI Labs, set data berkenaan tidak mengandungi data peribadi dan tiada individu sebenar boleh dikenal pasti menerusinya, manakala penggunaannya dibuka secara percuma untuk tujuan komersial di bawah lesen CC-BY-4.0.
"Nemotron-Personas-Malaysia merupakan tambahan kepada koleksi Nemotron-Personas NVIDIA yang sebelum ini dibangunkan untuk beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, India, Singapura, Brazil, Perancis, Korea dan Vietnam," jelas syarikat itu.
Ia turut menjadi set data pertama dalam koleksi itu yang mengutamakan Bahasa Melayu dan dibangunkan menggunakan jadual kebarangkalian berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi memastikan profil dihasilkan mencerminkan taburan penduduk Malaysia.
Tambah YTL AI Labs, set itu turut mengambil kira kepelbagaian etnik dan wilayah sehingga peringkat daerah, termasuk kumpulan Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau serta kategori Bumiputera mengikut Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Pembangunan AI Bukan Sekadar Bergantung Pelbagai Saiz Model
Daripada 150,000 rekod asas, sebanyak 1.35 juta persona terperinci dihasilkan merangkumi 39 bidang, termasuk umur, jantina, pekerjaan serta ciri personaliti berdasarkan model OCEAN yang digunakan dalam bidang psikologi personaliti.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, pembangunan AI generasi akan datang bukan sekadar bergantung kepada kepelbagaian saiz model, tetapi juga sejauh mana teknologi itu mampu memahami masyarakat setempat yang dilayaninya.
"Set tersebut memberikan ekosistem AI Malaysia asas terbuka untuk membangunkan teknologi yang mengambil kira bahasa, budaya, institusi dan cara hidup tempatan sejak peringkat awal pembangunan," kata beliau dalam kenyataan berkenaan.
Dibangunkan menggunakan teknologi data sintetik NVIDIA menerusi perpustakaan NeMo Data Designer dan rangka kerja Nemotron-Personas, ia boleh digunakan sepanjang kitaran pembangunan AI, termasuk penjanaan data sintetik, penjajaran model, serta ujian aplikasi.
Dalam konteks penggunaan, persona sintetik itu boleh membantu banyak pihak menilai keupayaan AI memahami keperluan pengguna daripada latar berbeza serta agensi kerajaan menguji keberkesanan perkhidmatan digital merentasi kumpulan. - DagangNews.com



