Thailand buka ruang pertumbuhan baharu EI Power menerusi 5 projek pusat data - HLIB

Business & Finance
17 Sep 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Thailand buka ruang pertumbuhan baharu EI Power menerusi 5 projek pusat data - HLIB Image from: Thailand buka ruang pertumbuhan baharu EI Power menerusi 5 projek pusat data - HLIB amree17/09/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR – EI Power Berhad dijangka mendapat satu lagi pemacu pertumbuhan menerusi pengembangan ke Thailand, dengan kumpulan itu kini menunggu keputusan tender bagi lima projek pusat data (DC) bernilai keseluruhan RM90 juta.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, kumpulan itu sudah memperoleh semua lesen yang diperlukan untuk menjalankan operasi di Thailand dan kini menunggu keputusan daripada pelanggan berhubung tender berkenaan.

 

Lima tender yang masih terkumpul itu melibatkan pelanggan yang telah menggunakan perkhidmatan EI Power di Malaysia, malah sebahagiannya mengundang kumpulan itu secara langsung ke Thailand bagi menyokong pembinaan DC yang dipercepatkan di luar Malaysia.

 

"Dengan tender berkenaan telah tertunggak selama enam hingga lapan bulan, penganalisis menjangkakan kontrak akan dianugerahkan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan akan datang," menurut analisis HLIB.

 

Ujarnya, kejayaan mendapatkan projek pertama di Thailand juga berpotensi menjadi pemangkin kepada penilaian semula EI Power, sekali gus meletakkan syarikat itu antara sebilangan kecil syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mempunyai pendedahan langsung kepada DC di luar negara.

 

Profil sedemikian dilihat tidak begitu lazim dalam kalangan kontraktor mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pemain kabel tempatan.

 

“Anggaran semasa kami didorong terutamanya oleh operasi Malaysia dan belum mengambil kira sebarang sumbangan daripada tender Thailand bernilai RM90 juta milik EI Power,” katanya.

 

Sementara itu, buku tempahan EI Power meningkat lebih dua kali ganda daripada RM90 juta pada suku pertama 2026 kepada RM219 juta setakat 1 Julai, didorong kontrak terbesar syarikat bernilai RM90 juta serta kemenangan tambahan daripada pelanggan DC Barat, China dan tempatan sedia ada.

 

Dengan projek-projek tersebut memasuki fasa pelaksanaan, penganalisis menjangkakan pertumbuhan pendapatan EI Power akan meningkat pada separuh kedua 2026, berbanding pertumbuhan sederhana 3.9% suku ke suku yang dicatatkan pada suku kedua 2026.

 

Di luar buku tempahan semasa, petunjuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) bahawa tambahan kapasiti DC sebanyak 5GW telah diluluskan oleh Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) turut menunjukkan gelombang pelaksanaan projek yang lebih kukuh bagi FY27 hingga FY28.

 

EI Power_DagangNews2026

 

HLIB menganggarkan saluran projek itu sahaja berpotensi mewakili kerja yang boleh disasarkan EIPower bernilai RM750 juta hingga RM1 bilion, berdasarkan anggaran RM15 juta hingga RM20 juta bagi setiap 100MW.

 

Bagaimanapun, sebahagian besar projek tersebut berkemungkinan belum berada dalam buku tender EIPower kerana kelulusan DCTF masih di peringkat awal sebelum pakej kerja berkaitan dibuka untuk tender.

 

Dari segi perolehan kontrak, kemenangan setakat tahun ini sebanyak RM174 juta telah mencapai 96% daripada anggaran setahun penuh penganalisis, dengan masih berbaki empat bulan.

 

Berdasarkan buku tender EI Power bernilai RM665 juta, dengan lebih 80% daripadanya berada di Malaysia, penganalisis kini menjangkakan perolehan kontrak akan melebihi unjuran mereka.

 

Tidak termasuk kontrak DC tunggal bernilai RM90 juta yang diperoleh pada separuh pertama 2026, pengisian semula kontrak bulanan secara purata adalah kira-kira RM10 juta, yang menunjukkan kemenangan kontrak FY26 sekitar RM210 juta sekiranya kadar tersebut berterusan.

 

HLIB menyifatkan sasaran itu boleh dicapai, memandangkan sebahagian besar buku tender berkaitan dengan fasa seterusnya pembangunan DC sedia ada, yang lazimnya dianugerahkan secara berperingkat apabila setiap tapak bergerak ke fasa seterusnya.

 

Malah, kontrak RM90 juta yang disebut itu hanya meliputi 60% daripada keseluruhan reka bentuk pelanggan di tapak berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada satu lagi kontrak susulan bersaiz besar dalam beberapa bulan akan datang.

 

Bagi tempoh selepas FY26, pelanggan DC Barat dan tempatan utama EIPower dijangka berkembang daripada tapak tunggal kepada kampus berbilang lokasi, sekali gus menyediakan aliran pesanan yang lebih tersusun dan berulang bagi FY27 hingga FY28.

 

Ini juga masih belum mengambil kira potensi kontrak daripada pengendali DC baharu yang membina kehadiran di Malaysia susulan permintaan daripada penyewa atau pengguna akhir yang kekal kukuh.

 

Susulan peningkatan andaian perolehan kontrak, penganalisis menaikkan unjuran pendapatan FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 14%, 11% dan 22%.

 

Selain itu, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap EI Power, namun menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.09 daripada 88 sen.

 

Berikutan pelarasan pendapatan tersebut, sasaran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) dinaikkan kepada 22 kali daripada 20 kali bagi mencerminkan perkembangan pesat pembangunan DC di Malaysia.

 

Nisbah P/E itu masih berada pada diskaun berbanding 24 kali yang diberikan kepada MNH, mencerminkan permodalan pasaran EIPower yang lebih kecil.

 

Secara keseluruhan, EI Power dilihat sebagai proksi khusus kepada sektor DC, yang menyokong nilai kontrak lebih besar dan margin lebih baik berikutan tahap kerumitan lebih tinggi dalam integrasi genset serta sistem pengagihan bahan api. 

 

Momentum kukuh penandatanganan perjanjian bekalan elektrik (ESA) di Malaysia dijangka terus menyokong pembangunan DC dan peluang kontrak bagi kumpulan itu.

 

Rekod EI Power dalam menyediakan perkhidmatan kepada pengendali hyperscaler China, pengendali DC Barat dan pemain tempatan turut menjadi kelebihan daya saing utama, memandangkan pemilik DC lazimnya mengutamakan kepastian pelaksanaan berbanding harga. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved