amree07/09/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept — Lebih banyak projek di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) dijangka diumumkan tahun ini, sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu kepada pemain sektor tenaga, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata perkembangan CRESS menjadi antara pemangkin yang perlu diberi perhatian ketika permintaan elektrik terus meningkat, khususnya daripada pusat data (DC), yang pada masa sama meningkatkan keperluan terhadap kapasiti tenaga baharu.
"Tender yang dibuka oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) tahun ini, melibatkan loji yang dijadualkan beroperasi antara 2029 hingga 2031, dengan sekurang-kurangnya empat bidaan diterima berjumlah kira-kira 3.5GW," katanya dalam nota.
Antara pembida ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kapasiti 700MW di Connaught Bridge, Klang; Genting sebanyak 1,400MW di Gebeng, Pahang; PETRONAS-Edra 700MW serta konsortium YTL Power International Berhad kira-kira 750MW di Pulau Indah.
RHB Research menganggarkan sekiranya TNB dan YTL Power memenangi bidaan masing-masing, ia berpotensi memberi kenaikan 2% dan 4% kepada Harga sasaran (TP) kedua-dua syarikat.
Pada masa sama, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan lebih banyak projek di bawah CRESS diumumkan tahun ini selepas caj akses dimuktamadkan.

TNB sebelum ini menandatangani perjanjian selama 21 tahun di bawah CRESS untuk membekalkan elektrik kepada DayOne daripada projek solar terapung hibrid berkapasiti 595MWac di Kenyir, selain perjanjian terbaharu yang berpotensi membekalkan sehingga 1.5GW elektrik kepada DayOne, yang dianggarkan boleh memberikan peningkatan sehingga 8% kepada pendapatan TNB.
"Selain penjanaan elektrik, kami turut melihat peluang dalam infrastruktur gas, khususnya pembinaan terminal regasifikasi ketiga (RGT3) oleh Petronas Gas Berhad bersama anak syarikat TNB," kata RHB Research.
RGT3 di Lumut, Perak, akan mempunyai kapasiti simpanan 170,000 meter padu dan keupayaan penghantaran 500 juta kaki padu sehari (mmscfd), dengan TNB komited menanggung sepenuhnya kapasiti mulai 2030. RHB turut menjangkakan Gas Malaysia Berhad memuktamadkan keputusan pelaburan akhir (FID) bagi RGT4 menjelang awal 2027.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor tenaga selepas prestasi 1H26 memenuhi jangkaan. Daripada 10 syarikat di bawah liputannya, satu mengatasi jangkaan, enam menepati ramalan dan tiga lagi berada di bawah jangkaan.
Bagi TNB, pendapatan berulang 1H26 meningkat 5% tahun ke tahun (YoY), disokong peningkatan 9% dalam jualan unit elektrik. Pertumbuhan terutama didorong sektor komersial yang melonjak 14% YoY, termasuk permintaan daripada DC, manakala kadar cukai efektif TNB mengecil kepada 28% pada 2Q26.
YTL Power pula mencatat sumbangan ketara daripada segmen DC apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen itu meningkat kepada RM244 juta pada 4QFY26, berbanding RM59 juta pada suku sebelumnya dan menyumbang 35% kepada PBT kumpulan.
"Kami menjangkakan sumbangan ini terus meningkat dengan tambahan kapasiti 200MW yang disasarkan siap menjelang Jun 2027 serta pembangunan sehingga 1GW kapasiti baharu di Sedenak, Johor," katan RHB Research.
Bagi Malakoff Corporation Berhad, prestasi terjejas akibat kadar cukai efektif lebih tinggi daripada jangkaan pada 2Q26, menyebabkan RHB Research mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 45%. Namun, firma itu kekal positif terhadap pemulihan Malakoff selepas rotor di Tanjung Bin Power kembali beroperasi bulan lalu, manakala prestasi Petronas Gas dan Gas Malaysia memenuhi jangkaan.
Dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), prestasi pemain utama bercampur apabila Samaiden Group Berhad mengatasi jangkaan hasil margin lebih kukuh, Solarvest Holdings Berhad menepati ramalan, manakala BM Greentech Berhad mencatat keputusan lebih rendah akibat margin lemah dalam segmen bio-tenaga dan rawatan air.
Justeru, firma tersebut menaikkan unjuran pendapatan Samaiden FY27 dan FY28 masing-masing 23% dan 8%.
RHB Research mengekalkan TNB dan YTL Power sebagai pilihan utama sektor tenaga, selain Samaiden dan Solarvest, dengan TNB dilihat sebagai penerima utama manfaat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), manakala YTL Power mendapat manfaat daripada pertumbuhan kapasiti DC.
Pada masa sama, NEWGEN26, CRESS serta projek infrastruktur gas baharu berpotensi menjadi pemangkin tambahan kepada pertumbuhan sektor tenaga Malaysia dalam beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com





