amree02/10/2026 - 14:50 ZAMBRY Abd Kadir (dua dari kanan) menekan butang sebagai gimik perasmian ILMUcode diperkenalkan YTL AI Labs di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt — Akses kepada teknologi pengekodan kecerdasan buatan (AI) termaju kini diperluas kepada pembangun dan pelajar Malaysia menerusi pelancaran ILMUcode oleh YTL AI Labs, yang menyasarkan bakat teknologi tempatan menghadapi era baharu pembangunan perisian.
Platform itu menggabungkan pembantu pengekodan AI berciri agentik dengan model ILMU-GLM-5.3, yang membolehkan pengguna mengendalikan proses pembangunan perisian dengan lebih pantas termasuk memahami pangkalan kod kompleks, menulis dan mengubah suai kod serta menyelesaikan masalah.
YTL AI Labs menerusi kenyataan berkata, ILMUcode dibangunkan untuk memberikan akses kepada keupayaan pengekodan AI termaju melalui infrastruktur AI berdaulat pada kos yang jauh lebih rendah, selain menyokong aspirasi Malaysia untuk membangunkan keupayaan AI tempatan.
"Sebagai sebahagian daripada pelancaran, 800 pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia (UM) akan menerima kredit ILMUcode bernilai RM100 sebulan selama tiga bulan, atau sehingga RM300 setiap pelajar," jelas syarikat tersebut.
ILMUcode dilancarkan di UM dengan dirasmikan sendiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dengan institusi pengajian tinggi awam berkenaan menjadi universiti yang pertama di Malaysia mula memperkenalkan platform baharu tersebut kepada pelajarnya.
Kemudahan ini ujar unit AI di bawah YTL Power International Berhad itu, membolehkan pelajar meneroka, membina dan membangunkan projek menggunakan ILMUcode, selaras usaha memperkukuh peluang ramai bakat AI tempatan serta mempersiapkan generasi pembangun teknologi yang akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, rangkaian ILMU sudah menggabungkan keupayaan AI tempatan dengan teknologi daripada syarikat AI bertaraf antarabangsa, termasuk menerusi kerjasama dengan NVIDIA dan Z.ai, sambil mengekalkan infrastruktur AI berdaulat.
"Pelancaran ILMUcode membolehkan rakyat Malaysia dapat memanfaatkan AI termaju bukan sekadar untuk kegunaan harian, malah bagi membina rumusan sendiri yang berasaskan AI dan menyokong aspirasi negara menjadi sebuah negara mahir dalam penggunaan AI," tambah beliau.
ILMUcode dibangunkan menerusi kerjasama YTL AI Labs dan Z.ai, dengan platform itu membawa keupayaan model pengekodan GLM-5.3 kepada pembangun Malaysia, manakala prestasinya disenaraikan antara model pengekodan terkemuka dunia dalam penanda aras seperti Terminal-Bench 2.1 dan DeepSWE.
Sementara itu, rangkaian model ILMU turut merangkumi model multimodal yang menduduki tangga teratas dalam penanda aras MalayMMLU bagi Bahasa Melayu, selain model pengecaman pertuturan, teks-ke-pertuturan dan teknologi pembenaman teks.
ILMUcode kini menjadi sebahagian daripada portfolio produk AI YTL AI Labs bersama ILMUclaw, yang membolehkan pengguna membina ejen AI autonomi, serta ILMUchat, platform AI perbualan yang tersedia di Apple App Store dan Google Play, manakala ILMUcode boleh digunakan menerusi platform ilmucode.ai. - DagangNews.com



