YTL Group dan Sea Limited perkenal Ryt Bank, bank AI pertama dunia

LocalTechnology
25 Aug 2025 • 11:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

YTL Group dan Sea Limited perkenal Ryt Bank, bank AI pertama dunia

image is not available

25/08/2025 - 11:55

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos YTL Group dengan kerjasama Sea Limited melancarkan Ryt Bank, yang pertama seumpamanya di dunia dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI).

Ryt Bank menggabungkan teknologi dengan kecerdasan budaya untuk menjadikan perbankan lebih mudah, pintar dan selamat bagi setiap rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, pelancaran bank AI itu adalah satu lonjakan berani negara ke arah masa depan digital yang menggabungkan inovasi AI bertaraf dunia dengan nilai, bahasa dan gaya hidup cerminan Malaysia.

“Ryt Bank membuktikan inovasi bertaraf global boleh dibina dan dibangunkan dari Malaysia sendiri hasil kepakaran anak tempatan.

“Kami mencipta sebuah bank yang memahami bahasa dan budaya Malaysia dan ini adalah standard baharu dalam dunia perbankan yang menawarkan pengalaman berbeza untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

image is not available

Perbankan Inklusif Berasaskan Bahasa

Ryt Bank boleh diakses dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, manakala Mandarin akan ditambah menjelang September 2025.

Beliau berkata, pendekatan berbilang bahasa ini menjadikan pengurusan kewangan lebih mesra, mudah difahami dan selamat, sekali gus merapatkan jurang antara komuniti.

Ryt AI – Pembantu Perbankan Pintar Tempatan

Tambahnya, teras utama Ryt Bank ialah Ryt AI, pembantu maya sentiasa aktif yang dikuasakan oleh ILMU, model bahasa besar pertama Malaysia.

“Ryt AI boleh memahami perbualan semula jadi sama ada Bahasa Malaysia, Inggeris atau campuran bahasa rojak kedua-duanya dan bertindak segera terhadap keperluan harian seperti membayar bil, mengurus perbelanjaan, hingga menerangkan asas kewangan dengan cara mudah difahami,” katanya.

Penyelesaian Menyeluruh Dalam Satu Aplikasi

Ryt Bank menyatukan semua keperluan kewangan daripada simpanan, faedah harian, kredit segera hinggalah kad pembayaran global, hanya dalam satu aplikasi.

Antara keunikan yang ditawarkan ialah pengalaman perbankan lebih pintar dan peribadi melalui Ryt AI.

Beliau berkata, pengguna boleh membuat bayaran serta-merta hanya dengan berbual dalam aplikasi atau menggunakan platform DuitNow.

“Malah, mereka juga boleh mengimbas bil utiliti dan menyelesaikan pembayaran terus melalui JomPAY.

“Selain itu, Ryt AI turut menyediakan panduan simpanan serta asas literasi kewangan dalam bahasa mudah difahami, menjadikan pengurusan wang lebih mesra dan inklusif.

“Dari segi keselamatan, setiap transaksi dilindungi dengan pengesahan berganda serta teknologi penyulitan terkini, manakala pengguna baharu turut ditawarkan ganjaran pelancaran sehingga RM5 apabila mencuba fungsi Ryt AI,” katanya.

image is not available

Bagi aspek simpanan, pelanggan berpeluang menikmati kadar faedah sehingga 4% setahun yang dibayar secara harian ke dalam akaun mereka, tanpa sebarang tempoh penguncian, menjadikannya fleksibel untuk keperluan harian mahupun perancangan masa depan.

Ryt Bank turut memperkenalkan Ryt PayLater, kemudahan kredit segera sehingga RM1,499 tanpa keperluan dokumen.

Pelanggan menikmati kadar 0% faedah sekiranya pembayaran dibuat dalam bulan pertama, di samping ganjaran pulangan tunai 1.2% untuk transaksi DuitNow QR dan pulangan berganda bagi pembelian di kedai Yes serta rakan kerjasamanya yang lain.

Lebih Istimewa, pengguna boleh berbelanja di mana-mana dengan Kad Ryt serba guna yang menggabungkan fungsi debit dan kredit, serta diterima di seluruh dunia melalui rangkaian Visa.

Katanya, kad itu menawarkan kelebihan tanpa caj transaksi luar negara, tanpa caj pengeluaran ATM di seluruh Malaysia serta pulangan tunai 1.2% tanpa had bagi perbelanjaan di luar negara.

“Tawaran eksklusif turut diberikan, termasuk baucar Shopee RM8 dan diskaun 20% di restoran YTL Hotels.

“Ryt Bank dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia dan dilindungi oleh PIDM sehingga RM250,000 setiap pendeposit.

“Ciri keselamatan termasuk log masuk biometrik, penyulitan berlapis dan amaran penipuan masa nyata,” katanya.

Aplikasi itu kini boleh dimuat turun di App Store dan Google Play. - DagangNews.com

standard