YTL Power berpotensi sebagai idea tematik di Johor disokong projek pusat data, solar – RHB Investment
diyana
18/09/2023 - 13:02
KUALA LUMPUR 18 Sept - YTL Power International Berhad berpotensi menjadi salah satu idea tematik di Johor yang timbul daripada pembangunan pusat data (DC) dan aset solar masa pada masa hadapan di Kulai, menurut RHB Investment.
Firma penyelidikan itu berkata ia menjangkakan lebih banyak tawaran pusat data selepas kejayaan menyiapkan projek Fasa 1 dan ekspedisi aset solat dengan memanfaatkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
“Berikutan pengeluaran laporan tematik Johor kami, kami mengambil kesempatan ini untuk menyemak semula kedudukan YTL Power di Johor.
“Terdahulu, SIPP Power ialah 70% anak syarikat YTL Power yang memperoleh 664 hektar ladang kelapa sawit dengan harga RM429 juta daripada Boustead Plantations pada 2021 dengan hasrat untuk membangunkan loji solar berskala besar.
“Sebahagian daripada tanah (kira-kira 111 hektar) sedang dirancang untuk membangunkan Taman Pusat Data Hijau 500MW dengan nilai pelaburan RM15 bilion. Pusat data dimiliki secara berasingan oleh YTL DC, anak syarikat YTL Power,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, RHB Investment berkata bagi Fasar 1, YTL Power telah melabur RM1.5 bilion untuk membina kemudahan diperakui Tahap-III yang dilengkapi dengan keupayaan untuk menampung kapasiti sehingga 72MW.
Tambahnya, pembinaan sedang berjalan dan 8MW yang pertama dijangka akan dilancarkan menjelang suku pertama tahun depan dan baki 24MW akan beroperasi secara progresif.
“YTL Power sedang meninjau pelanggan baharu untuk baki 16MW. Kami dimaklumkan bahawa tempoh kontrak adalah lebih daripada 10 tahun dan pusat data dalam Fasa 1 berpotensi menjana keuntungan sebelum cukai sebanyak RM100 juta setahun. Kami menjangkakan lebih banyak potensi tawaran pusat data apabila projek Fasa 1 berjaya dilaksanakan.
“Sementara itu, walaupun elektrik pusat data kini dibekalkan oleh Tenaga Nasional Bhd setakat ini, kami berpendapat YTL Power berkemungkinan membina aset solar, yang boleh menarik lebih ramai pelabur pusat data dalam jangka panjang. Sebarang lebihan tenaga suria, jika ada, boleh dijual kepada grid juga,” tambahnya.
RHB Investment mengekalkan saranan beli dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM2.43 sesaham daripada RM2.21.
Pada pukul 12:58 tengah hari ini, saham YTL Power telah menokok 6 sen atau 2.9% kepada RM2.14 dengan permodalan pasaran sebanyak RM17.5 bilion. - DagangNews.com



