YTL Power dijangka perkukuh segmen pusat data dengan sasaran nilai saham naik 14% - CIMB Research

TechnologyBusiness & Finance
8 Aug 2025 • 6:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

YTL Power dijangka perkukuh segmen pusat data dengan sasaran nilai saham naik 14% - CIMB Research

image is not available

08/08/2025 - 18:03

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Meskipun unjuran keuntungan keseluruhan YTL Power International Bhd disemak turun, CIMB Research kekal optimis terhadap prospek jangka panjang kumpulan itu, terutamanya menerusi segmen pusat data berkongsi yang terus mencatat perkembangan kukuh.

Firma penyelidikan itu berkata, ia telah menaikkan unjuran margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) bagi perniagaan pusat data berkongsi YTL Power daripada 50% kepada 70%, selepas mendapat pemahaman lebih jelas mengenai struktur kos operasi sebenar.

“Sebanyak 160 megawatt (MW) kapasiti baharu telah diambil kira dalam unjuran kewangan bagi tahun kewangan 2027 (FY27) dan FY28.

“Selain itu, keseluruhan kapasiti sedia ada sebanyak 188MW telah disewa sepenuhnya,” kata CIMB Research dalam nota penyelidikan terkini.

Firma itu kini menjangkakan kapasiti tambahan sebanyak 160MW akan mula beroperasi secara berperingkat pada FY27 dan FY28, sekali gus mendorong keuntungan bersih teras segmen pusat data untuk melonjak daripada RM115 juta pada FY26 kepada RM431 juta menjelang FY29.

“Tanpa mengambil kira peluasan tersebut, nilai saksama YTL Power dianggarkan pada RM4.08 sesaham,” katanya.

Bagaimanapun, firma itu telah menyemak turun unjuran pendapatan bagi segmen pusat data kecerdasan buatan (AI) apabila mengandaikan hanya 12MW kapasiti digunakan untuk platform DGX Cloud milik Nvidia, berbanding 20MW sebelum ini.

Baki kapasiti akan digunakan untuk penyediaan penyelesaian AI lain seperti model bahasa besar (LLM).

CIMB Research turut menurunkan unjuran keuntungan bersih teras YTL Power bagi tahun 2025 hingga 2027 sebanyak 7% hingga 17%, berikutan jangkaan awal penyusutan margin Ebitda per megawatt jam bagi operasi Power Seraya di Singapura serta pendapatan pusat data AI yang lebih rendah.

Namun begitu, firma tersebut turut mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham YTL Power dan menaikkan harga sasaran sebanyak 14% kepada RM4.55 sesaham, didorong peningkatan nilai perniagaan pusat data dan segmen utiliti air Wessex Water di Britain.

“Kami melihat peluasan 160MW pusat data berkongsi sebagai pemangkin utama kepada penarafan saham kumpulan,” jelasnya.

Selain itu, firma tersebut turut menjangkakan pertumbuhan kukuh pendapatan Wessex Water susulan kenaikan tarif air sebanyak 21% di UK pada April lalu, selain potensi projek loji tenaga baharu di Malaysia yang turut memberi prospek cerah kepada YTL Power. - DagangNews.com

standard