PTT Synergy ceburi perniagaan gudang pintar, sasar pendapatan seimbang tiga segmen menjelang 2030

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2025 • 12:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PTT Synergy ceburi perniagaan gudang pintar, sasar pendapatan seimbang tiga segmen menjelang 2030

image is not available

07/08/2025 - 12:18

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos – PTT Synergy Bhd mengorak langkah strategik dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan dengan melancarkan gudang pintar pertama miliknya, PTT Logistics Hub 1 di Elmina Business Park.

Langkah tersebut adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang kumpulan untuk mengimbangi sumbangan pendapatan antara tiga teras utama iaitu pembinaan, hartanah dan robotik menjelang tahun kewangan berakhir 30 Jun 2029 (FY29) hingga FY30.

Pengarah Urusan Kumpulan, Teo Swee Phin, berkata strategi diversifikasi ini disebabkan oleh ketidaktentuan industri pembinaan serta tekanan kos yang semakin meningkat.

“Industri pembinaan sangat tidak menentu, ada masa bagus, ada masa sebaliknya dan kos pula makin meningkat.

“Sebaliknya, sektor hartanah lebih stabil kerana kami hanya membina berdasarkan permintaan penyewa, manakala model pajakan robotik pula mampu menjana pendapatan berulang yang mampan,” katanya di majlis pelancaran PTT Logistics Hub 1, semalam.

Gudang pintar pertama kumpulan itu dibina khas bagi menyokong permintaan intralogistik masa hadapan.

Ia menampilkan teknologi automasi seperti sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS), pengurusan inventori berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta penggunaan infrastruktur cekap tenaga.

Pembangunan gudang ini dilaksanakan menerusi struktur jual dan pajak semula (sale-and-leaseback), di mana hartanah tersebut dijual kepada CapitaLand Malaysia Trust pada harga RM180 juta dan disewa semula kepada anak syarikat PTT Synergy, Projek Tetap Teguh Sdn Bhd, untuk tempoh pajakan selama 10 tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Dan Then Ikh Choo, memaklumkan kumpulan telah mula menjana pendapatan sewaan daripada gudang tersebut sejak Julai, dengan strategi subpajakan kepada penyewa akhir.

“Kami bayar sewa kepada Capital Land dan pada masa sama kutip sewa daripada penyewa kami. Maka terdapat perbezaan margin yang menyumbang kepada keuntungan kumpulan,” jelasnya.

“Perniagaan gudang pintar PTT Synergy kini menyumbang kepada tiga aliran pendapatan utama: keuntungan pembangunan daripada fasiliti ‘built-to-suit’; pajakan sistem automasi dan robotik; serta pendapatan sewaan daripada penyewa gudang.

“Ketiga-tiga aliran ini secara konsisten memperkukuh kedudukan kewangan kami,” katanya.

PTT Synergy turut merancang membangunkan sebuah lagi gudang komersial bersebelahan PTT Logistics Hub 1, dengan kapasiti 60,000 palet, selain projek gudang baharu di Pulau Pinang yang bakal menyokong sektor semikonduktor. Pembinaan tersebut dijadualkan siap pada Mac 2026.

Beliau juga menyatakan keyakinan terhadap prestasi kewangan kumpulan bagi FY26, disokong oleh permulaan kutipan sewa dan perancangan gudang pintar yang sedang giat dilaksanakan.

“Prestasi pasti lebih baik. Saya jangka keuntungan boleh meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda, malah mungkin mencecah tiga kali,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025, PTT Synergy mencatatkan lonjakan keuntungan bersih 56 peratus kepada RM13.1 juta, berbanding RM8.4 juta tahun sebelumnya. Hasil kumpulan pula kekal stabil pada RM195.42 juta, sedikit menurun berbanding RM196.47 juta sebelum ini.

Bagaimanapun, segmen pembinaan yang masih menjadi penyumbang utama kumpulan menyusut 38 peratus kepada RM13.68 juta, berbanding RM22.19 juta pada tempoh sama tahun lalu.- DagangNews.com

standard