'Ahmad Zahid, UMNO-BN berundurlah dari Kerajaan Madani secara sukarela' - Mahfuz

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 8:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Ahmad Zahid, UMNO-BN berundurlah dari Kerajaan Madani secara sukarela' - Mahfuz
Mahfuz

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO-Barisan Nasional (BN) digesa berundur secara sukarela daripada Kerajaan Madani sekiranya tidak lagi sehaluan dengan kerajaan itu.

Gesaan itu dibuat Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang mempersoalkan pendirian Ahmad Zahid dan UMNO-BN kerana masih mahu kekal dalam kerajaan, sedangkan pada masa sama bekerjasama dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk menentang Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, Ahmad Zahid begitu lantang mendesak Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meletakkan jawatan beliau sebagai menteri sebelum ini.

"Tetapi sebelum sibuk menuntut orang lain menunaikan janji politik, Zahid perlu terlebih dahulu menjawab satu persoalan yang jauh lebih besar: Bilakah Zahid dan UMNO BN mahu menunaikan tanggungjawab politik mereka sendiri?

"Anthony Loke telah menunaikan janji politiknya. Kini, giliran Zahid dan UMNO BN pula membuktikan bahawa mereka masih mempunyai prinsip, pendirian dan tanggungjawab terhadap Kerajaan Madani yang mereka sertai," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Mahfuz berpandangan, UMNO-BN tidak boleh terus menikmati kuasa dan kedudukan dalam kerajaan Persekutuan, tetapi pada masa berpakat dengan pihak pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan berkenaan.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sekadar soal perbezaan pendapat atau kebebasan bersuara dalam kerajaan, sebaliknya soal konsistensi dan kejujuran politik.

"Jangan mahu menjadi kerajaan di Putrajaya, tetapi menjadi pembangkang apabila berhadapan dengan PH di medan pilihan raya," ujarnya lagi.

Beliau turut mempersoalkan sama ada UMNO-BN mahu terus menikmati kuasa kerajaan sambil membantu pihak pembangkang melemahkan dan menjatuhkan pentadbiran kerajaan sendiri.

Justeru, Mahfuz berkata, Ahmad Zahid perlu menjelaskan pendirian UMNO-BN dan menentukan sama ada parti itu masih komited untuk bersama Kerajaan Madani.

"Saya tidak meminta Perdana Menteri memecat UMNO-BN. Sebaliknya, jika UMNO-BN merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan Madani dan lebih selesa bersama Pas serta PN, mereka harus berundur secara sukarela dan bermaruah.

"Jangan tunggu dipecat kemudian berlakon menjadi mangsa. Jangan bakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar," tegasnya.

Beliau mengingatkan, politik bukan sekadar soal memegang jawatan dan menikmati kuasa, sebaliknya turut menuntut prinsip, kesetiaan serta keberanian memikul akibat daripada keputusan sendiri.

"Anthony Loke sudah menunaikan janji politiknya. Sekarang, Zahid dan UMNO BN pula perlu menjawab. Bila mahu menunaikan tanggungjawab politik mereka?" soalnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved