Pelantikan Menteri Pengangkutan Baharu Bawah Budi Bicara PM - Gobind

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 4:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pelantikan Menteri Pengangkutan Baharu Bawah Budi Bicara PM - Gobind

PUTRAJAYA - Keputusan sama ada jawatan Menteri Pengangkutan perlu diisi susulan peletakan jawatan Anthony Loke diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, berkata Anwar mempunyai kuasa penuh untuk menentukan keperluan pelantikan itu, selain memilih individu yang difikirkan berupaya menerajui kementerian berkenaan.

Menurutnya, Perdana Menteri lebih arif mengenai keperluan Kabinet dan sewajarnya diberi ruang untuk membuat keputusan tanpa campur tangan pihak lain.

“Perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri kerana pelantikan menteri sememangnya di bawah budi bicara beliau.

“Beliau lebih mengetahui siapa yang paling sesuai untuk menerajui kementerian itu dengan berkesan, termasuk menentukan sama ada jawatan berkenaan perlu diisi semula.

“Saya tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu dan tidak dapat mengulas lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Gobind berkata demikian selepas namanya turut disebut sebagai antara calon berpotensi menggantikan Loke yang juga Setiausaha Agung DAP.

Mengulas sama ada parti itu sudah mengemukakan nama calon kepada Anwar atau diminta berbuat demikian, Gobind yang juga Menteri Digital berkata, perkara berkenaan masih tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri.

Sebelum ini, Loke mengesahkan akan melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan susulan pelaksanaan perintah tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Gobind enggan mengulas laporan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan mahkamah yang dikemukakan Majlis Peguam Malaysia berhubung isu tahanan rumah Najib.

Beliau sebaliknya berpandangan, perkara itu perlu diserahkan kepada proses perundangan untuk ditentukan.

“Setakat yang saya tahu berdasarkan laporan yang dibaca hari ini, permohonan berkenaan sudah difailkan. Jadi, biarkan proses undang-undang berjalan dan kita lihat perkembangan seterusnya,” katanya. - Getaran, 12 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved