Zahid sasar Orang Asli jadi komuniti pribumi paling maju di Asia Tenggara

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 5:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Zahid sasar Orang Asli jadi komuniti pribumi paling maju di Asia Tenggara
Ahmad Zahid berucap ketika Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli di Kampung Orang Asli Batu Peti, Rompin pada Jumaat.

JEMPOL – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyasarkan masyarakat Orang Asli di Malaysia menjadi antara komuniti pribumi paling maju di Asia Tenggara menerusi penekanan terhadap pendidikan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, usaha berkenaan menjadi keutamaan kementeriannya sejak beliau diamanahkan menerajui portfolio itu, termasuk memperkukuh kedudukan masyarakat Orang Asli melalui penambahbaikan dasar dan perundangan.

Menurutnya, pindaan terhadap Akta Orang Asli turut diusahakan bagi memastikan komuniti itu menerima lebih banyak manfaat dan bantuan daripada kerajaan.

"Kalau kita mahu melihat masyarakat Orang Asli maju, kita mesti memajukan mereka melalui pendidikan. Pada masa sama, kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan rumah yang lebih baik juga mesti disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli di Kampung Orang Asli Batu Peti, Rompin pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, sasaran meningkatkan penyertaan pelajar Orang Asli ke institusi pengajian tinggi berjaya dicapai malah melepasi jangkaan setiap tahun.

Menurutnya, pada 2023 beliau menetapkan sasaran 300 pelajar Orang Asli melanjutkan pengajian ke universiti dan jumlah itu berjaya direalisasikan.

"Pada 2024 saya cadangkan 400 orang, tetapi seramai 500 pelajar berjaya memasuki universiti. Bagi tahun 2026 pula, sasaran saya ialah 500 orang, namun seramai 642 pelajar Orang Asli berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

"Ini membuktikan masyarakat Orang Asli mampu berjaya sekiranya diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya," katanya.

Beliau turut memaklumkan empat pelajar dari Kampung Orang Asli Batu Peti berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, sekali gus disifatkan sebagai pencapaian membanggakan yang wajar menjadi inspirasi kepada generasi muda di penempatan itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga sedang meneliti amalan terbaik berkaitan pembangunan masyarakat pribumi di New Zealand dan Australia untuk disesuaikan dengan keperluan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), termasuk Ketua Pengarahnya serta penasihat ekonomi masyarakat Orang Asli bagi merangka pendekatan yang lebih berkesan pada masa depan.

Beliau turut mencadangkan supaya lebih ramai anak Orang Asli diberikan peluang memegang jawatan penting termasuk sebagai pegawai khas berkaitan hal ehwal masyarakat Orang Asli di peringkat kerajaan negeri agar suara komuniti itu dapat diangkat dengan lebih berkesan.

"Berilah kepercayaan kepada BN. Kita akan terus memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara sentiasa terbela," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved