Hormati setiap keputusan pengundi esok

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 8:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hormati setiap keputusan pengundi esok

JEMPOL: Semua pihak perlu menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok dengan berlapang dada serta menghormati mandat rakyat bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara selepas pilihan raya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kematangan politik perlu diterjemahkan dengan menghormati mandat rakyat tanpa mengira gabungan mana yang diberi kepercayaan untuk membentuk kerajaan negeri.

“Yang penting adalah kita harus melihat bahawa apa yang berlaku di peringkat negeri dan nasional adalah sesuatu yang berbeza. Inilah kedinamikan politik Malaysia yang semakin mantap dan kematangan inilah yang diperlukan rakyat.

“Kita juga mahu supaya kestabilan politik di Negeri Sembilan diwujudkan selepas keputusan pilihan raya apabila mandat daripada rakyat diberikan secara rasmi kepada mana-mana gabungan yang akan membentuk kerajaan,” katanya

Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, Bahau, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu memberikan sokongan dan ruang kepada mana-mana gabungan yang berjaya membentuk kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.

Katanya, kestabilan politik perlu diutamakan bagi mengelakkan pertelagahan berterusan selepas kerajaan baharu dibentuk.

“Siapa-siapa sahaja yang mendapat perkenan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar mesti mendapat sokongan padu semua pihak. Kita tidak mahu rumah sudah siap, tetapi pahat masih berbunyi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid optimis peratusan keluar mengundi yang tinggi mampu menjadi pemangkin kepada peluang kemenangan gabungan BN-Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung esok.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan unjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjangkakan kadar keluar mengundi melebihi 71 peratus selain trend positif pengundian awal yang mencecah lebih 91 peratus.

“Jika trend ini dapat dipertahankan atau sekurang-kurangnya menghampiri kadar pengundian awal, ia merupakan satu perubahan besar yang boleh diterjemahkan dalam keputusan PRN Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, BN terbuka bagi mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak selepas PRN Negeri Sembilan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berpandangan, landskap politik negara sentiasa berubah mengikut keadaan semasa dan semua pihak perlu bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama.

“Kita terbuka kepada sebarang perbincangan kerana politik sangat dinamik dan kedinamikan itulah yang mematangkan politik di Malaysia,” katanya.-UTUSAN

 

The post Hormati setiap keputusan pengundi esok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved