Zaid persoal bangkit isu Felda, TH menjelang PRN Negeri Sembilan

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 6:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Zaid persoal bangkit isu Felda, TH menjelang PRN Negeri Sembilan
Zaid

SHAH ALAM – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu Felda dan Tabung Haji (TH) beberapa hari sebelum pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, dakwaan salah urus terhadap kedua-dua institusi itu seolah-olah memberi gambaran bahawa UMNO tidak wajar diberi peluang mentadbir negara, meskipun parti itu merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, terdapat ramai teknokrat yang berkhidmat secara profesional dan tidak terlibat dengan sebarang penyelewengan, sebaliknya berusaha memulihkan kedudukan kewangan kedua-dua institusi berkenaan.

“Apabila menggambarkan masalah yang dihadapi Felda dan TH berpunca daripada salah urus serta memaklumkan kepada orang ramai bahawa pihak yang bertanggungjawab akan didakwa dan dipenjarakan, tidakkah terfikir bahawa ramai teknokrat yang berintegriti telah berkhidmat di institusi tersebut?

“Individu seperti Tan Sri Muhammad Nor Yusuf, Tan Sri Azman Mokhtar dan ramai lagi teknokrat lain yang tidak mempunyai kaitan dengan sebarang penyelewengan, tetapi diletakkan dalam kelompok yang sama sehingga memberi gambaran bahawa mereka turut bersalah.

“Adakah itu adil kepada mereka? Tambahan pula, mereka langsung tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Zaid berkata, sebaliknya beberapa isu lain masih memerlukan penjelasan kerajaan, termasuk perkembangan skim Ponzi MBI yang didakwa melibatkan kerugian lebih besar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun tiada sebarang pendakwaan dibuat setakat ini.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan layanan terhadap beberapa kes yang mendapat perhatian umum serta melahirkan kebimbangan terhadap pengaruh kumpulan jenayah yang didakwa membabitkan individu bergelar Datuk Seri.

“Saya tidak menyukai ahli politik yang korup atau seperti yang dipanggil oleh rakan-rakan dalam DAP, kleptokrat. Namun, saya amat bimbang akan tibanya hari apabila kumpulan mafia memerintah negara ini, jika mereka belum lagi berbuat demikian.

“Tidakkah anda nampak, Perdana Menteri, mengapa kita memerlukan perpaduan orang Melayu? Untuk menggembleng sokongan rakyat bagi menentang dunia jenayah dan seterusnya membebaskan negara daripada ancaman mafia,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved