Zaihairul Idrus dilantik Timbalan Ketua Polis Perlis

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zaihairul (kanan) dilantik Timbalan Ketua Polis Perlis yang baharu. Foto Polis Perlis

KANGAR - Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus dilantik Timbalan Ketua Polis Perlis yang baharu, menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Ismail Ibrahim yang bersara berkuat kuasa Selasa.

Pelantikan itu dimuktamadkan menerusi Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas disaksikan Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini pada Selasa.

Zaihairul yang berasal dari Simpang Empat, Perlis, sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dan mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk 24 tahun dalam Jabatan Siasatan Jenayah.

Ketika ditemui pemberita beliau berkata, antara fokus utamanya termasuk memperkasakan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan polis serta memastikan integriti pasukan terus terpelihara.

"Saya akan menyokong semua arahan dan tindakan Ketua Polis Perlis serta meneruskan legasi kepimpinan ke arah mencapai visi dan misi pasukan,” katanya.

Beliau berkata, aspek jenayah sempadan turut diberi perhatian dengan memperkukuh kerjasama antara agensi penguat kuasa, termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), di kawasan Padang Besar dan Wang Kelian.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Perlis dan difahamkan AKPS dijangka mula beroperasi sekitar Jun ini, sekali gus mempertingkat koordinasi penguatkuasaan di sempadan negeri. - Bernama