
Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) mengumumkan zakat fitrah bagi umat Islam di Sabah bagi tahun 2023/ Ramadan 1444 hijrah ini kekal pada kadar RM7.00 seperti tahun sebelumnya.
Yang Di Pertua (YDP) Muis, Datuk Seri Yahya Hussin, berkata kadar itu berdasarkan sukatan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram (kg) beras yang dimakan majoriti penduduk negeri ini.
“Muis juga telah melantik seramai 39 orang Penyelaras Wakil Amil dan 2200 orang Wakil Amil yang turut dibekalkan kad kuasa untuk menyelaras serta memungut zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.
“Sabah menjadi antara wilayah terawal di Malaysia yang telah mengumumkan kadar zakat fitrah untuk tahun 2023 bersamaan 1444 hijriah,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Sabah di sini, pada Rabu.
Hadir sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ariffin Arif; Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Ruslan Muharram dan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bongsu @Aziz Jaafar.
Terdahulu, penyerahan zakat perniagaan THP Sabaco Sdn Bhd kepada Muis dan penyerahan Wakalah Agihan Zakat Muis kepada THP Sdn Bhd serta lapan penerima lainnya turut diadakan pada majlis itu.
Yahya turut mengumumkan jumlah kutipan zakat fitrah tahun lalu adalah RM10.92 juta membabitkan seramai 1.56 juta pembayar iaitu peningkatan seramai 23,497 orang berbanding tahun sebelumnya.
Beliau menambah, jumlah pungutan zakat harta adalah RM122.49 juta membabitkan 104,519 pembayar dan penyumbang terbesar adalah daripada zakat pendapatan.
“Jumlah agihan zakat dan fitrah mengikut asnaf bagi tahun 2022 adalah RM121.99 juta membabitkan 95,255 orang terdiri daripada lapan jenis golongan asnaf di Sabah.
“Jumlah penerima zakat dari kalangan asnaf fakir, miskin, mualaf dan amil fitrah di negeri ini pada Ramadan tahun lalu adalah 55,000 orang,” katanya.
Bagi Ramadan tahun ini, kata Yahya, Muis telah memperuntukan RM18.68 juta untuk diagihkan kepada asnaf di mana RM17.25 juta adalah asnaf fakir, miskin dan mualaf.
“RM1.43 juta lagi akan diagihkan kepada 2200 orang Amil Fitrah sebagai upah amil kerana bertugas mengutip dan mengagihkan zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
“Jjumlah pungutan zakat harta dari 1 Januari hingga 28 Februari tahun ini adalah sebanyak RM15.39 juta.
“Sepanjang tempoh sama, Muis telah mengagihkan sebanyak RM18.05 juta dana zakat kepada golongan asnaf,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
