Zakat Korporat: MAIDAM naikkan kadar wakalah kepada 50 peratus

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 2:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Zakat Korporat: MAIDAM naikkan kadar wakalah kepada 50 peratus
Zulkifli (tengah) dan Ahmad Azrin (kanan) menyampaikan anugerah kepada usahawan asnaf sempena Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kali Kedua 2026 di Kuala Terengganu pada Isnin.

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melangkah setapak lagi dalam memperkasakan pengurusan zakat menerusi pengenalan dasar baharu yang menaikkan kadar pulangan wakalah zakat korporat daripada 25 peratus (suku) kepada 50 peratus (separuh) bermula Mei lalu.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Zulkifli Ali berkata, kemudahan itu ditawarkan kepada pembayar zakat dengan syarat pembayaran minimum RM30,000 setahun.

"MAIDAM meluluskan satu dasar untuk wakalah zakat ini. Sebelum ini, kita hanya beri satu perempat daripada bayaran zakat itu.

"Bermula Mei lalu, kita membuat satu dasar mempertimbangkan wakalah untuk pembayar zakat dipertingkatkan daripada satu perempat kepada satu perdua, iaitu 50 peratus. Dengan syarat pembayaran minimum RM30,000 untuk setahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kali Kedua 2026 di Primula Beach Hotel di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan.

Mengulas mengenai mekanisme agihan itu, Zulkifli memberikan contoh menerusi bayaran zakat RM50,000 yang mana pembayar akan menerima semula RM25,000 untuk diuruskan pengagihannya.

Katanya, daripada RM25,000 tersebut, 60 peratus perlu diagihkan kepada golongan fakir dan miskin, manakala baki 40 peratus lagi disalurkan kepada asnaf fi sabilillah mengikut syarat ditetapkan MAIDAM.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIDAM bercadang mewujudkan kemudahan dompet elektronik (e-dompet) bagi membolehkan pihak majlis mengenal pasti serta memantau pengagihan supaya ia dibuat mengikut syarat ditetapkan.

"Inilah satu amanah diberikan kepada pembayar zakat untuk menolong MAIDAM mengagihkan wakalah ini kepada yang memerlukan," ujarnya.

Menyentuh mengenai sambutan terhadap inisiatif baharu itu, Zulkifli berkata, walaupun ia baru diperkenalkan, maklum balas awal diterima amat memberangsangkan.

"Insya-ALLAH, saya rasa untuk tahun hadapan baru kita dapat tengok impak sebab tahun ni dah pertengahan dan kita betul-betul sedang uar-uarkan bagi wakalah 50 peratus ini," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, MAIDAM amat mengharapkan syarikat serta individu wajib membayar zakat di negeri ini terus menjelaskan bayaran kepada MAIDAM bagi membolehkan agihan disalurkan secara menyeluruh kepada lapan golongan asnaf.

"Kita berharap dengan dasar diperkenalkan ini, hasil daripada pembayaran zakat akan meningkat dan lebih ramai lagi pembayar zakat datang kembali ke MAIDAM Negeri Terengganu untuk membayar zakat sebagaimana kewajipan mereka.

"Ini sekali gus dapat membantu asnaf yang memerlukan terutama fakir miskin, fisabilillah, mualaf dan golongan lain dengan lebih banyak lagi," tambahnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved