
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga individu kerana disyaki menyeleweng dana zakat bernilai kira-kira RM230 juta.
Individu yang ditahan termasuklah seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Dua dari mereka kemudiannya direman selama empat hari bermula 22 April hingga 25 April untuk bantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.
Susulan daripada penahanan itu Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut memaklumkan penyelewengan tersebut tidak melibatkan sumber dana daripada mana-mana institusi zakat di negara ini.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kes Seleweng Dana RM230 Juta: Bukan Dari Badan Zakat Tapi Sumbangan Kepada NGO – Azam Baki
BACA ARTIKEL BERKAITAN: SPRM Tahan 3 Individu, Disyaki Seleweng Dana Zakat Bernilai RM230 Juta
Tiada kaitan dengan kes seleweng dana RM230 juta
Terbaharu Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes berkenaan.
Jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari LZS mengambil maklum laporan media berhubung penahanan beberapa individu berkaitan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta yang kini disiasat oleh pihak berkuasa.
“Zakat Selangor menegaskan bahawa kes yang dilaporkan melibatkan sebuah NGO dan tidak mempunyai kaitan dengan Zakat Selangor atau pengurusan zakat oleh institusi ini. Memandangkan siasatan masih berjalan, Zakat Selangor tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Pengurusan dana zakat di Selangor lalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan
Menurutnya Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi Negeri Selangor yang berada di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan sistem tadbir urus, kawal selia dan semak imbang yang menyeluruh.
Malah pengurusan dana zakat juga melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan. Perkara ini termasuklah audit dalaman, audit luaran dan juga semakan oleh pihak berautoriti untuk memastikan setiap dana zakat berkenaan diurus secara teratur serta terkawal.
“Sehubungan itu, Zakat Selangor mengekalkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat serta memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan mengikut rangka kerja tadbir urus yang ditetapkan.”






