KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam.
Ia berhubung perhimpunan yang diadakan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lalu.
Zamri atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Faezahnoor Hassan.
“Faham (pertuduhan), tidak bersalah,” katanya yang memakai kot berwarna biru di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, aktivis itu didakwa membuat kenyataan terbabit, yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan tersebut dibuat di akaun Facebooknya ‘Zamri Vinoth’ pada jam 12.22 tengah hari pada 3 Februari lalu, kemudian dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun, di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Tunku Abdul Rahman, Dang Wangi di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Nordin Ismail mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Menurutnya, jumlah itu bersifat munasabah kerana terdapat kira-kira 100 laporan polis dibuat terhadap Zamri.
“Jumlah jaminan bukan satu kekangan kepada tertuduh, namun kami serahkan kepada budi bicara mahkamah," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham dan Nur Farhana Mohamad Poad.
Bagaimanapun, peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff merayu anak gumanya diberi ikat jamin pada kadar minimum.
Beliau berkata, anak guam pada mulanya, hadir ke mahkamah dengan rela hati, bukan ditangkap.
"Zamri tidak pernah menerima sebarang notis yang memerlukannya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan atau dikehendaki menghadapi pertuduhan hingga dia dilarang ke luar negara.
“Dia bertolak ke Thailand pada 9 Mac dan pulang semula ke tanah air pada 12 Mac,” katanya.
Beliau berkata, anak guam bukan melarikan diri ke luar negara sebaliknya mahu menjalankan perniagaan selain menguruskan pernikahan pasangan lain di sana.
Sehari kemudian katanya, pihak polis mengeluarkan kenyataan media, menyentuh isu berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 29 April depan.
Sebelum ini, pihak polis mengesahkan Zamri dan aktivis, Tamim Dahri yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan ke Thailand.
Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan dua individu terbabit giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa negara gajah putih itu.
Zamri kemudiannya menafikan dakwaan berkenaan susulan kontroversi yang mengaitkannya dengan tindakan menghasut keganasan.
Sebaliknya, beliau menegaskan tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Zamri berkata, beliau juga sedia bertemu KPN bagi menjelaskan perkara tersebut.
