
Pelakon filem Kudrat 1968: High Council, Zarif Ghazzi tampil menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan dirinya susulan kontroversi yang sedang diperkatakan.
Menerusi kenyataan rasmi, pihak pengurusan Zarif memaklumkan bahawa mereka memandang serius isu serta dakwaan yang sedang diperkatakan melibatkan pelakon di bawah pengurusan mereka.
Menurut kenyataan itu, Zarif dengan tegas menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan atau mungkin ditafsirkan sebagai merujuk kepada dirinya, sama ada secara langsung, tidak langsung mahupun melalui sebarang bentuk sindiran.
“Zarif Ghazzi sentiasa berpegang kepada konsep profesionalisme, integriti dan sentiasa hormat dalam setiap urusan beliau sepanjang penglibatan beliau dalam industri seni hiburan,” menurut kenyataan tersebut.
Susulan itu, pihak pengurusan mengesahkan satu laporan polis telah dibuat, selain melantik wakil peguam bagi mendapatkan nasihat serta meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian.
Dalam masa sama, pihak pengurusan menyeru orang ramai termasuk pengamal media supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi, maruah dan hak mana-mana individu.
“Buat masa ini, kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan saluran perundangan yang sewajarnya.
“Sehubungan itu, pihak kami tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang masih dalam penelitian,” jelas kenyataan berkenaan.
Terdahulu, Puteri Balqis mencetuskan perhatian selepas mendedahkan dakwaan mengenai tindakan seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjalani penggambaran.
Pelakon itu turut mendakwa terpaksa bertemu pengarah bagi meminta supaya babak melibatkan sentuhan fizikal dikurangkan.
Bagaimanapun, Puteri Balqis tidak menamakan secara jelas individu yang dimaksudkan dalam pendedahan tersebut.
Pada Selasa, Puteri Balqis turut memohon maaf secara terbuka atas penggunaan bahasa kasar dalam beberapa hantaran media sosialnya, selain memaklumkan pihak produksi Global Station sedang meneliti dakwaan yang dibangkitkan.
Untuk rekod, Zarif dan Puteri Balqis merupakan antara pelakon yang membintangi drama Dua Nyawa terbitan Global Station.
The post Zarif Ghazzi nafi dakwaan salah laku, buat laporan polis appeared first on The Reporter.






