liza29/09/2026 - 11:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Sept – Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) memperluas kehadirannya ke Malaysia Timur dengan pembukaan ruang pameran sementara Zeekr di The Spring Kuching.
Langkah tersebut merupakan fasa seterusnya dalam peluasan Zeekr di Malaysia bagi mendekatkan rangkaian kenderaan dan perkhidmatan mobiliti elektrik premium kepada pelanggan di Sarawak.
Kehadiran Zeekr di Sarawak disokong Ghee Hua Group of Companies yang menandatangani perjanjian pengedar dengan Zeekr pada Julai 2026 di ibu pejabat syarikat itu di Hangzhou, China.
Kerjasama berkenaan memanfaatkan pengalaman Ghee Hua dalam sektor automotif dan mobiliti bagi memperluas kehadiran Zeekr di Sarawak, selain menyokong perkembangan penggunaan EV premium di Malaysia Timur.
Sejak memulakan operasi di Malaysia pada Disember 2024, Zeekr Malaysia terus mengembangkan pangkalan pelanggannya dan merekodkan lebih 5,000 pemilik di seluruh negara setakat Ogos 2026.
Perkembangan itu turut disokong minat pelanggan di Sarawak, termasuk pelanggan awal yang memilih Zeekr sebelum jenama itu mempunyai cawangan rasmi di negeri berkenaan.

Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata pembukaan ruang pameran sementara pertama di Malaysia Timur itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat memperluas rangkaiannya di seluruh negara.
Kukuhkan kehadiran Zeekr di Sarawak
Menurutnya, Sarawak merupakan pasaran penting dengan minat terhadap mobiliti elektrik premium yang semakin meningkat dan ruang pameran baharu itu membolehkan pelanggan mendapatkan pengalaman lebih dekat dengan produk dan perkhidmatan Zeekr.
Terletak di The Spring Kuching, ruang pameran sementara berkenaan memberi peluang kepada pelanggan untuk meneroka rangkaian model Zeekr termasuk Zeekr 7X, Zeekr 009 dan Zeekr X, selain mendapatkan maklumat mengenai pendekatan jenama itu terhadap mobiliti elektrik premium.
Majlis pembukaannya turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng, selain rakan niaga, pelanggan dan tetamu jemputan.
Majlis itu turut menyaksikan acara khas penyerahan kenderaan untuk pemilik Zeekr baharu, sebagai tanda permulaan pengalaman pemilikan mereka bersama jenama berkenaan di Sarawak.
Dalam usaha menyokong perkembangan penggunaan EV premium, Zeekr Malaysia dan Ghee Hua memberi tumpuan kepada pengalaman produk secara langsung, sokongan jualan profesional serta akses perkhidmatan selepas jualan yang lebih mudah kepada pelanggan.
Sasar pusat jualan dan servis pada 1Q2027
Pembukaan ruang pameran sementara Zeekr di Kuching menjadi langkah pertama dalam rancangan jangka panjang Zeekr di Malaysia Timur dengan syarikat menyasarkan pembukaan Zeekr Space Kuching (pusat jualan 1S) dan Zeekr Service Centre Kuching (pusat servis) pada suku pertama 2027 (Q1 2027).
Kedua-dua kemudahan itu akan menyediakan sokongan jualan serta perkhidmatan selepas jualan secara bersepadu dan sementara menunggu pembukaannya, Zeekr Malaysia telah melaksanakan program perkhidmatan bergerak (Mobile Service) di seluruh Malaysia Timur bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan pemeriksaan kenderaan lebih dekat dengan pelanggan. - DagangNews.com





