johardy17/11/2026 - 08:59 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Zen Tech International Berhad, yang dahulunya dikenali sebagai Inix Technologies Holdings Berhad, diperintah oleh mahkamah membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas pengarah urusannya, Mohd Anuar Mohd Hanadzlah, dalam saman fitnah.
Pengeluar sarung tangan getah dan penyedia perkhidmatan teknologi itu memaklumkan kepada Bursa Malaysia, mahkamah turut memerintahkannya membayar kos guaman RM40,000 tertakluk kepada fi alokatur.
Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Mohd Anuar untuk mendapatkan permohonan maaf serta injunksi bagi menghalang syarikat daripada membuat kenyataan berunsur fitnah selanjutnya terhadapnya.
Zen Tech berkata, pihaknya akan memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya pada 15 Disember 2026.
Mohd Anuar memfailkan saman tersebut pada 16 Julai 2020 dengan menuntut ganti rugi am RM1 juta, selain ganti rugi pampasan, teruk dan teladan.
Tuntut permohonan maaf dalam akhbar
Beliau turut memohon permohonan maaf bertulis daripada syarikat untuk disiarkan dalam The Edge dan The Star, serta injunksi bagi menghalang syarikat dan wakilnya daripada menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang didakwa menjejaskan reputasinya.
Saman itu menyusuli tindakan penggantungan beliau daripada lembaga pengarah pada Mac 2020 ketika siasatan dijalankan berhubung dakwaan salah laku dan pelanggaran kewajipan fidusiari sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai pengarah urusan yang kurang daripada setahun.
Mohd Anuar menyertai lembaga pengarah pada 2013 sebelum dilantik sebagai pengarah urusan pada 2019 dan ditukar kepada pengarah bukan eksekutif pada Januari 2020.
Beliau disingkirkan daripada lembaga pengarah menerusi undian pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan syarikat pada Julai tahun yang sama.
Zen Tech berkata, pihaknya akan membuat pengumuman lanjut mengenai sebarang perkembangan material kes tersebut.
Catat kerugian bersih RM8.57 juta
Syarikat yang memperoleh sumbangan hasil utamanya daripada perniagaan pembuatan sarung tangan getah itu mencatatkan kerugian bersih RM8.57 juta dengan hasil RM23.33 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026.
Tiada perbandingan tahun ke tahun tersedia selepas syarikat menukar tarikh akhir tahun kewangannya daripada 30 Jun kepada 31 Disember pada tahun lalu.
Saham Zen Tech tidak berubah pada 0.5 sen pada 16 November, menjadikan permodalan pasarannya RM15.8 juta, manakala harga sahamnya telah merosot 50% sejak awal tahun. - DagangNews.com





