Peguam Harith Iskander mohon tarik diri wakili kes saman Rosmah

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 2:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peguam Harith Iskander mohon tarik diri wakili kes saman Rosmah

KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili pelawak dan pelakon, Harith Iskander memohon untuk menarik diri daripada mengendalikan kes saman fitnah melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perkara itu disahkan oleh peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili Harith ketika dihubungi hari ini.

“Ya, kami memohon untuk menarik diri (discharge) daripada mewakili Harith,” katanya ringkas.

Permohonan tersebut akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Arziah Mohamed Apandi secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada 24 November ini.

Terdahulu, tarikh pendengaran berkenaan ditetapkan pada prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan hakim sama.

Peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Rosmah berkata, prosiding itu dihadiri peguam, Nur-Diana Ezlyn Hashim bagi pihak plaintif, manakala Harith diwakili Sangeet bersama Harkiranjit Kaur Manjit Singh.

Pada 9 Jun lalu, Rosmah, 74, memfailkan saman terhadap Harith atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, selaku defendan susulan dakwaan menjadi mangsa penghinaan fizikal.

Tindakan itu didakwa berlaku ketika persembahan komedi berdiri bertajuk Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di sebuah hotel di Melaka pada 17 Januari lalu.

Rosmah mendakwa defendan memaparkan imej berkaitan makhluk mitologi seram sebelum memaparkan imej beliau, selain mengeluarkan kenyataan berbaur ejekan mengenai melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap.

Beliau turut mendakwa rakaman persembahan berkenaan dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok sehingga meraih ratusan ribu tontonan, sekali gus menjatuhkan reputasi dan maruahnya sebagai figura awam serta penaung badan amal.

Rosmah kemudian memohon ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang penerbitan semula kenyataan tersebut salain permohonan maaf secara bertulis di dua akhbar arus perdana dan akaun media sosial.

Bagaimanapun, pada 9 Julai lalu Harith dalam pernyataan pembelaannya menafikan paparan itu membawa maksud fitnah seperti didakwa plaintif.

Katanya, klip video di TikTok itu juga dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuannya serta di luar konteks penuh persembahan komedi berkenaan. – UTUSAN

The post Peguam Harith Iskander mohon tarik diri wakili kes saman Rosmah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved