Bekas pengarah urusan LKL, Lim Kon Lian menang saman RM23 juta ditipu projek vaksin Sinovac tidak wujud

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 4:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekas pengarah urusan LKL, Lim Kon Lian menang saman RM23 juta ditipu projek vaksin Sinovac tidak wujud Image from: Bekas pengarah urusan LKL, Lim Kon Lian menang saman RM23 juta ditipu projek vaksin Sinovac tidak wujud amree11/11/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov — Bekas pengarah urusan LKL International Berhad, Lim Kon Lian memperoleh ganti rugi sebanyak RM23 juta diperintahkan daripada seorang lelaki susulan terpedaya dengan projek pelaburan vaksin Sinovac ketika wabak Covid-19 yang didapati tidak pernah wujud.

 

NST melaporkan, Hakim Mahkamah Tinggi, Elaine Yap memerintahkan Halim Shah Harlem Shahnon Abdullah membayar jumlah itu selepas mendapati beliau bertanggungjawab terhadap salah nyata secara tidak benar yang menyebabkan Kon Lian menyerahkan wang bagi membiayai projek berkenaan.

 

Dalam alasan penghakiman, mahkamah mendapati Halim Shah membina imej palsu sebagai seorang doktor perubatan dan individu bergelar bagi memberikan kredibiliti kepada projek yang kononnya melibatkan pengimportan, pengedaran serta penjualan vaksin Sinovac di Malaysia.

 

Kon Lian menurutnya, kemudian didapati terpengaruh dengan representasi palsu tersebut mengenai kewujudan dan perkembangan projek berkenaan, termasuk dakwaan kononnya bahawa ujian klinikal akan dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaya (UM).

 

"Mahkamah dimaklumkan Kon Lian memindahkan RM10 juta kepada Genesis Biopharma Sdn Bhd dalam empat transaksi antara Oktober hingga Disember 2020 menerusi perjanjian langganan saham, selain memindahkan RM13 juta lagi pada 9 November 2020," kata laporan itu.

 

Bagaimanapun, syarikat berkenaan tidak pernah menerbitkan saham keutamaan boleh tebus dan boleh tukar seperti yang dijanjikan dalam perjanjian, sebelum Kon Lian menamatkan perjanjian itu pada 6 Mei 2021 dan menuntut pemulangan RM10 juta.

 

Sinovac_DagangNews2026
Gambar hiasan media sosial

 

Kata hakim, pertukaran mesej WhatsApp, perjanjian langganan saham serta rekod pemindahan wang menyokong tuntutan Kon Lian bahawa Halim Shah membuat representasi mengenai projek vaksin dan keperluan pembiayaannya.

 

Mahkamah turut menolak usaha Halim Shah untuk menjauhkan dirinya daripada projek itu selepas mendapati mesej serta dokumen berkaitan meletakkannya sebagai individu utama dalam kerjasama yang didakwa dengan UM. 

 

Di samping itu jelas hakim, majlis menandatangani dokumen dan sidang akhbar juga didapati memberikan gambaran seolah-olah projek tersebut benar-benar wujud.

 

Dalam penghakiman itu, mahkamah turut mendapati dakwaan Halim Shah memiliki ijazah perubatan daripada Johns Hopkins University adalah palsu, selain meneliti penggunaan gelaran 'Datuk Seri' yang menurut mahkamah sebahagian daripada pembentukan identiti mengelirukan.

 

Mahkamah mendapati Genesis Biopharma tidak menjalankan fungsi bebas selain menjadi saluran Halim Shah melaksanakan penipuan berkenaan, sekali gus menjadikan beliau bertanggungjawab secara peribadi terhadap kerugian Kon Lian.

 

Selain ganti rugi RM23 juta, mahkamah mengisytiharkan Halim Shah memegang wang berkenaan sebagai amanah konstruktif untuk Kon Lian dan mengarahkannya memberikan perakaunan penggunaan wang itu. Mahkamah turut membenarkan perintah pengesanan aset, mengenakan faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

 

Genesis Biopharma sudah diisytiharkan sebagai gulung tikar pada 25 Jun 2024, manakala perbicaraan diteruskan terhadap Halim Shah selepas Kon Lian memperoleh penghakiman ingkar terhadap syarikat itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved