Zetrix AI akui berlaku pelanggaran syarat sukuk RM2 bilion tetapi tidak perlu bayar balik segera

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 6:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI akui berlaku pelanggaran syarat sukuk RM2 bilion tetapi tidak perlu bayar balik segera Image from: Zetrix AI akui berlaku pelanggaran syarat sukuk RM2 bilion tetapi tidak perlu bayar balik segera johardy29/10/2026 - 18:45 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Zetrix AI Berhad mengesahkan pelanggaran syarat di bawah program sukuk bernilai sehingga RM2 bilion telah mencetuskan tindakan pembubaran (dissolution event) selepas Pengarah Urusannya, Wong Thean Soon tidak lagi menjadi pemegang saham tunggal terbesar syarikat itu.

 

Bagaimanapun, tindakan itu tidak mewajibkan Zetrix AI membayar balik keseluruhan baki sukuk tertunggak secara serta-merta, menurut penjelasan syarikat kepada Bursa Malaysia.

 

Zetrix AI turut mengesahkan semua pembayaran yang telah sampai tempoh dijelaskan mengikut jadual, sekali gus membezakan pelanggaran syarat pemegangan saham daripada kegagalan membuat pembayaran.

 

Penjelasan itu dibuat sebagai menjawab pertanyaan Bursa Malaysia bertarikh 26 Oktober 2026 susulan mesyuarat bersama pemegang sukuk pada 23 Oktober lalu yang gagal mencapai persetujuan berhubung pelanggaran syarat pembiayaan tersebut.

 

Syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd itu menjelaskan program Sukuk Wakalah menetapkan Wong mesti kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar Zetrix AI.

 

Bagaimanapun, syarat berkenaan tidak lagi dipenuhi selepas perubahan dalam pegangan saham, sekali gus mencetuskan tindakan pembubaran di bawah program sukuk tersebut.

 

Zetrix AI menjelaskan kegagalan pembayaran boleh berlaku sekiranya syarikat tidak menjelaskan jumlah tertunggak apabila pembayaran itu perlu dibuat mengikut syarat program berkenaan.

 

"Sehingga tarikh pengumuman ini, syarikat telah membuat semua pembayaran yang perlu dijelaskan di bawah program Sukuk Wakalah mengikut jadual pembayaran yang ditetapkan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pemegang sukuk gagal capai persetujuan

Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas mesyuarat pemegang sukuk pada 23 Oktober lalu gagal mencapai sebarang keputusan bagi menangani pelanggaran syarat pembiayaan tersebut.

 

Zetrix AI berkata, kegagalan mencapai persetujuan bermakna semua terma dan syarat sedia ada di bawah program Sukuk Wakalah masih berkuat kuasa.

 

Syarikat itu akan meneruskan perbincangan dengan pemegang amanah sukuk dan pemegang sukuk bagi menyelesaikan perkara yang masih tertunggak mengikut terma dan syarat program berkenaan.

 

Setakat ini, tarikh mesyuarat pemegang sukuk yang seterusnya masih belum ditetapkan sementara menunggu kesesuaian masa semua pihak yang terlibat.

 

Program Sukuk Wakalah Zetrix AI mempunyai nilai nominal maksimum RM2 bilion, namun syarikat itu tidak menyatakan jumlah sebenar baki sukuk tertunggak dalam makluman terbaharunya.

 

Zetrix AI berkata, pihaknya akan membuat pengumuman segera kepada Bursa Malaysia sekiranya berlaku kegagalan pembayaran, selain memaklumkan sebarang perkembangan penting mengikut syarat penyenaraian Bursa Malaysia. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved