liza02/10/2026 - 12:37 KUALA LUMPUR 2 Okt – Zetrix AI Bhd dilaporkan berhutang lebih RM200 juta kepada kerajaan selepas syarikat itu gagal menyerahkan wang yang dikutip daripada pelanggan bagi urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut laporan The Straits Times, Zetrix AI gagal menyerahkan wang berkenaan kepada JPJ sejak permulaan kontrak selama tiga tahun pada Mei 2023.
Wang tersebut dikutip daripada pelanggan bagi urusan pembaharuan cukai jalan kenderaan, lesen memandu dan pembayaran saman trafik.
Laporan The Straits Times itu memetik dokumen rasmi yang dilihat akhbar berkenaan, menyatakan kegagalan menyerahkan wang tersebut berlaku sejak kontrak itu bermula.
Seorang pegawai kerajaan yang tidak dinamakan dipetik sebagai berkata, Kementerian Pengangkutan kini sedang mempertimbangkan langkah seterusnya bagi memastikan sistem pembayaran digital yang digunakan lebih dipercayai, selain memastikan jumlah tertunggak itu dibayar.
Sementara itu, The Edge pula melaporkan seorang jurucakap Kementerian Pengangkutan turut mengesahkan jumlah tertunggak berkenaan itu.
Bermula sebagai MyEG
Zetrix AI, yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd, mula beroperasi pada 2000 dan merupakan antara penyedia perkhidmatan dalam talian yang menghubungkan pengguna dengan JPJ.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk pembaharuan cukai jalan kenderaan dan insurans melalui sistem dalam talian.
Sementara itu, laporan tahunan terkini Zetrix AI menunjukkan syarikat mempunyai jumlah ‘other payables’ sebanyak RM95.5 juta.
Jumlah itu merangkumi hutang perdagangan, deposit diterima serta akruan, iaitu hasil yang telah diperoleh atau perbelanjaan yang telah ditanggung tetapi belum melibatkan pertukaran tunai.
Dari segi kedudukan liabiliti, pinjaman dan pinjaman lain membentuk sebahagian besar liabiliti semasa syarikat berjumlah RM577.4 juta, manakala liabiliti bukan semasa berjumlah RM1.25 bilion.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, Zetrix AI mencatat keuntungan bersih RM269.3 juta, menjadikan keuntungan bersih bagi separuh pertama tahun itu sebanyak RM540.58 juta. - DagangNews.com






