Zetrix AI sahkan disiasat polis dan SPRM berhubung isu tunggakan kutipan JPJ

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI sahkan disiasat polis dan SPRM berhubung isu tunggakan kutipan JPJ Image from: Zetrix AI sahkan disiasat polis dan SPRM berhubung isu tunggakan kutipan JPJ amree15/10/2026 - 14:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt — Zetrix AI Berhad mengesahkan syarikat itu sedang disiasat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tunggakan kutipan RM314 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

Dalam makluman ringkas kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut bagaimanapun berkata operasi syarikat berkenaan tidak terjejas berikutan siasatan yang sedang berjalan, selain memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

 

Syarikat itu turut menyatakan sebarang perkembangan penting berkaitan siasatan akan dimaklumkan melalui pengumuman rasmi, susulan pertanyaan Bursa Malaysia mengenai laporan media berhubung siasatan polis tersebut.

 

Pada 13 Oktober 2026, polis mengumumkan pembukaan siasatan rasmi terhadap dakwaan bahawa Zetrix AI dan syarikat bersekutunya, MyEG Services Berhad, gagal menyerahkan sejumlah RM230.9 juta kutipan kerajaan, selepas menerima aduan pada 7 Oktober 2026.

 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah jenayah. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata polis telah merakam keterangan enam saksi dan merampas dokumen korporat berkaitan untuk pemeriksaan.

 

Beliau turut memaklumkan terdapat beberapa individu lain akan dipanggil bagi membantu siasatan. Setakat pengumuman syarikat tersebut, siasatan masih lagi berjalan dan tiada sebarang keputusan akhir yang dinyatakan.

 

Artikel berkaitan: Polis rakam keterangan enam saksi dalam siasatan RM230.9 juta hasil kerajaan babitkan MyEG

 

Artikel berkaitan: SPRM mulakan siasatan terhadap MyEG, Zetrix AI selepas terima aduan rasmi

 

Pada 8 Oktober, Zetrix AI mengesahkan ia mempunyai tunggakan kutipan berjumlah RM314 juta yang belum diserahkan kepada JPJ bagi tempoh Mei hingga September 2026, dengan liabiliti berkenaan telah diiktiraf sebagai jumlah perlu dibayar dalam kunci kira-kiranya.

 

Pengakuan itu dibuat selepas Bursa Malaysia meminta syarikat memberikan jawapan langsung mengenai jumlah tunggakan sebenar, susulan kenyataan terdahulu Zetrix AI yang menyatakan pihaknya sedang memuktamadkan jumlah tertunggak tanpa menyatakan angka khusus. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved