Zetrix sahkan sedang disiasat, jamin beri kerjasama penuh

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 4:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Zetrix sahkan sedang disiasat, jamin beri kerjasama penuh
Zetrix AI Bhd mengesahkan syarikat itu sedang disiasat polis berhubung dakwaan kegagalan menyerahkan wang kutipan kerajaan kepada pihak berkuasa.

KUALA LUMPUR – Zetrix AI Bhd mengesahkan syarikat itu sedang disiasat polis berhubung dakwaan kegagalan menyerahkan wang kutipan kerajaan kepada pihak berkuasa.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Zetrix AI Bhd memaklumkan, operasi perniagaannya tidak terjejas oleh siasatan yang sedang dijalankan.

Zetrix turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta memaklumkan sebarang perkembangan penting menerusi pengumuman rasmi.

Kenyataan tersebut susulan laporan bahawa polis memulakan siasatan rasmi berhubung dakwaan kegagalan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah jenayah.

Pada Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dilapor memulakan siasatan terhadap Zetrix AI dan MyEG.

Sebelum ini, Zetrix mengesahkan terdapat wang kutipan berjumlah RM314 juta yang masih belum diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tempoh Mei hingga September 2026.

Syarikat tersebut memaklumkan, liabiliti berkenaan telah diiktiraf sebagai jumlah yang perlu dibayar dalam kunci kira-kiranya, susulan permintaan Bursa Malaysia supaya syarikat memberikan penjelasan mengenai jumlah sebenar tunggakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zetrix turut mengesahkan penggantungan sementara perkhidmatan sebagai ejen kutipan JPJ berkuat kuasa 5 Oktober lalu berpunca daripada kelewatan penyerahan wang kutipan kepada jabatan itu.

Menurut syarikat berkenaan, jumlah tunggakan masih dalam proses dimuktamadkan bersama JPJ.

Zetrix berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan pembayaran bagi menyelesaikan tunggakan itu, tertakluk kepada perbincangan lanjut dan persetujuan kedua-dua pihak mengenai jumlah akhir serta terma penyelesaian.

Tempoh penggantungan perkhidmatan pula bergantung kepada penyelesaian perbincangan dengan JPJ, Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa kerajaan berkaitan.

Syarikat tersebut menjangkakan penggantungan berkenaan akan ditarik balik selepas persetujuan bersama dicapai dan rangka kerja penyelesaian yang dicadangkan diterima pihak berkuasa berkaitan.

Zetrix turut memaklumkan penggantungan itu menyebabkan sumbangan hasil dan keuntungan daripada perkhidmatan JPJ kepada Kumpulan terhenti buat sementara waktu bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved