amree15/10/2026 - 14:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt — Zetrix AI Berhad mengesahkan syarikat itu sedang disiasat polis berhubung dakwaan kegagalan menyerahkan kutipan kerajaan, ketika syarikat berkenaan sebelum ini mengakui mempunyai tunggakan RM314 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam makluman ringkas kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut bagaimanapun berkata operasi syarikat berkenaan tidak terjejas berikutan siasatan yang sedang berjalan, selain memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Syarikat itu turut menyatakan sebarang perkembangan penting berkaitan siasatan akan dimaklumkan melalui pengumuman rasmi, susulan pertanyaan Bursa Malaysia mengenai laporan media berhubung siasatan polis tersebut.
Pada 13 Oktober 2026, polis mengumumkan pembukaan siasatan rasmi terhadap dakwaan bahawa Zetrix AI dan syarikat bersekutunya, MyEG Services Berhad, gagal menyerahkan sejumlah RM230.9 juta kutipan kerajaan, selepas menerima aduan pada 7 Oktober 2026.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah jenayah. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata polis telah merakam keterangan enam saksi dan merampas dokumen korporat berkaitan untuk pemeriksaan.
Beliau turut memaklumkan terdapat beberapa individu lain akan dipanggil bagi membantu siasatan. Setakat pengumuman syarikat tersebut, siasatan masih lagi berjalan dan tiada sebarang keputusan akhir yang dinyatakan.
Artikel berkaitan:
Polis rakam keterangan enam saksi dalam siasatan RM230.9 juta hasil kerajaan babitkan MyEG
SPRM mulakan siasatan terhadap MyEG, Zetrix AI selepas terima aduan rasmi
Pada 8 Oktober, Zetrix AI mengesahkan ia mempunyai tunggakan kutipan berjumlah RM314 juta yang belum diserahkan kepada JPJ bagi tempoh Mei hingga September 2026, dengan liabiliti berkenaan telah diiktiraf sebagai jumlah perlu dibayar dalam kunci kira-kiranya.
Pengakuan itu dibuat selepas Bursa Malaysia meminta syarikat memberikan jawapan langsung mengenai jumlah tunggakan sebenar, susulan kenyataan terdahulu Zetrix AI yang menyatakan pihaknya sedang memuktamadkan jumlah tertunggak tanpa menyatakan angka khusus.
Walaupun siasatan sedang berjalan, saham Zetrix AI meningkat setengah sen atau 9.09% kepada enam sen pada rehat tengah hari 15 Oktober 2026, memberikan syarikat berkenaan dengan permodalan pasaran mencecah RM484.7 juta.
Bagaimanapun, saham syarikat tersebut sudah merosot lebih 90% sejak awal tahun, ketika perkembangan berkaitan tunggakan kutipan kerajaan dan siasatan pihak berkuasa menjadi perhatian pelabur.
Zetrix AI berkata operasi perniagaannya kekal tidak terjejas setakat ini dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa, sementara sebarang perkembangan material berhubung perkara itu akan diumumkan kepada Bursa Malaysia mengikut keperluan. - DagangNews.com






