KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mana-mana pihak yang ingin melawat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya di Langgak Duta, di sini, perlu mematuhi prosedur lawatan yang ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, individu yang ingin bertemu dengan bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum mengetahui secara terperinci mekanisme lawatan yang akan dilaksanakan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
"Kami menjangkakan pelawat perlu membuat permohonan terlebih dahulu.
"Pelawat tetap perlu mendapatkan kebenaran (Jabatan Penjara Malaysia) untuk menemuinya," katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa.
Ditanya sama ada, Datin Seri Rosmah Mansor akan berada bersama suaminya, peguam itu berkata, barisan peguam tidak dimaklumkan mengenai perkara terbabit.
“Kami tidak tahu, itu perkara peribadi malah saya juga tidak tahu syarat tahanan rumah,” katanya yang hadir bersama peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan telah melunaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
AGC sebelum ini memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebelum ini menyentuh isu kecacatan pada perintah pelepasan berkenaan.
Beliau berkata, penelitian sewajarnya ketika menyediakan dokumen rasmi itu penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian, khususnya membabitkan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama.
Pada 18 September lalu, beliau mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.



![[VIDEO] Najib tiba di Langgak Duta, sambung baki hukuman di rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/e6bdb7b6-beba-40c6-9942-65f3582857d8-1024x683.jpeg)

