
PARIS: Pengendali baharu Perancis, Zinedine Zidane terus meletakkan kepercayaan tinggi terhadap Kylian Mbappe apabila mengesahkan bintang Real Madrid itu sebagai kapten Perancis selepas menamakan skuad pertamanya sebagai pengendali Les Bleus.
Mbappe, 27, menyerlah dalam peranan kapten pada Piala Dunia 2026 apabila muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol, biarpun Perancis terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada juara, Sepanyol.
Zidane turut memberi bayangan bahawa Mbappe mempunyai kebebasan untuk beraksi di tiga posisi jentera serangan, termasuk di sebelah kiri yang disifatkannya sebagai posisi yang amat digemarinya.
“Dia mampu bermain di tiga posisi dan saya juga sangat menyukainya di sebelah kiri,” kata Zidane pada sidang media di Paris ketika mengumumkan skuad pertamanya.
Pelantikan Zidane pada penghujung Julai menandakan berakhirnya era Didier Deschamps yang mengendalikan Perancis selama 14 tahun, termasuk membawa Les Bleus menjulang Piala Dunia 2018 di Rusia.
Menariknya, Zidane pernah beraksi bersama Deschamps dalam skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 sebelum dilantik sebagai pengendali baharu dengan kontrak empat tahun.
Tugas pertama Zidane ialah mengharungi saingan Liga Negara-Negara UEFA dengan Perancis dijadual bertemu Turkiye pada Jumaat depan sebelum menentang Belgium di Brussels, 28 September.
Aksi sulung Zidane di laman sendiri pula menyaksikan Perancis melayan kunjungan Itali di Stade de France pada 2 Oktober sebelum sekali lagi berdepan Belgium tiga hari kemudian.
Dalam skuad pertamanya itu, Zidane turut memberi peluang kepada beberapa muka baharu termasuk pertahanan tengah Jeremy Jacquet, 21, yang mendapat panggilan susulan prestasinya bersama Liverpool sejak menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Penyerang Rennes, Esteban Lepaul, yang muncul penjaring terbanyak Ligue 1 musim lalu, turut menerima panggilan pertama bersama pemain tengah Como, Lucas Da Cunha, selain Andy Diouf dari Inter Milan dan penjaga gol Toulouse, Guillaume Restes.
Antara nama besar yang diketepikan ialah pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni, penyerang Inter Milan, Marcus Thuram, manakala pertahanan Arsenal, William Saliba, tidak dipanggil kerana kecederaan.-AGENSI
The post Zidane pilih Mbappe kemudi Perancis appeared first on Utusan Malaysia.


