Zulkifli puji tindakan Jep Sepahtu kongsi rekod bayaran zakat RM1.935 juta

LocalOpinion
12 Oct 2026 • 7:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Zulkifli puji tindakan Jep Sepahtu kongsi rekod bayaran zakat RM1.935 juta
Jep menerusi hantaran Instagram memaklumkan perkongsian resit pembayaran zakat itu bukan bertujuan untuk berbangga dengan jumlah yang dibayarnya, sebaliknya sebagai bukti bagi menjelaskan perkara yang diperkatakan sebelum ini.

KUALA LUMPUR - Tindakan pelawak dan bekas penyampai radio, Mohd Nadzri Zainal Abidin, yang lebih dikenali sebagai Jep Sepahtu, berkongsi rekod pembayaran zakat berjumlah kira-kira RM1.935 juta bagi tempoh 2016 hingga 2025 disifatkan sebagai langkah berani dalam menegakkan ketelusan dan mempertahankan integriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan itu juga disifatkan sebagai usaha menangkis fitnah, selain membuktikan pelaksanaan kewajipan agama itu secara telus.

"Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan buat Saudara Jep Sepahtu (Mohd Nadzri Zainal Abidin) yang benar-benar menjadi wira serta inspirasi kepada para asnaf di Wilayah Persekutuan. Kita ambil dari sudut positif dan doakan yang baik-baik untuk semua,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Isnin.

Beliau berkata, pengorbanan dan ketelusan figura awam seperti Jep wajar dijadikan iktibar masyarakat, khususnya dalam menghayati kepentingan menunaikan kewajipan berzakat.

Zulkifli berkata, zakat bukan sahaja berperanan menyucikan harta, malah menjadi instrumen penting dalam memperkukuh ekonomi serta penyambung hayat bagi golongan yang memerlukan.

"Zakat mengukuhkan persaudaraan dan keadilan sosioekonomi ummah dengan membela nasib golongan asnaf. Ayuh kita contohi teladan mulia ini dan tunaikan kewajipan harta - jom bayar zakat di Pusat Pungutan Zakat!," katanya.

Jep menerusi hantaran Instagram memaklumkan perkongsian resit pembayaran zakat itu bukan bertujuan untuk berbangga dengan jumlah yang dibayarnya, sebaliknya sebagai bukti bagi menjelaskan perkara yang diperkatakan sebelum ini. - Bernama

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved