1,000 usahawan Bumiputera Muslim bakal sertai Himpunan SERU25 di Putrajaya

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2025 • 8:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

1,000 usahawan Bumiputera Muslim bakal sertai Himpunan SERU25 di Putrajaya

image is not available

30/07/2025 - 08:47

Himpunan 1,000 usahawan di Putrajaya akan mengukuhkan lagi jaringan perniagaan usahawan Muslim tempatan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Julai – Sempena meraikan satu dekad penubuhan gerakan keusahawanan Muslim - Ku Haraki Malaysia, satu acara mega “Himpunan 1000 Usahawan, SERU25” bakal berlangsung di Putrajaya pada 1 hingga 3 Ogos ini.

Ku Haraki Malaysia ialah sebuah gerakan keusahawanan Muslim yang ditubuhkan pada tahun 2015, dengan matlamat membimbing dan memperkasakan usahawan melalui pendekatan berasaskan nilai Islam, sokongan komuniti dan kerjasama strategik.

Bertemakan “Dari Usahawan Kepada Usahawan, Bersama Berjaya”, himpunan ini dijangka menjadi platform terbesar menghimpunkan lebih 1,000 usahawan Bumiputera Muslim dari seluruh negara.

Ketua Pengarah Ku Haraki Malaysia, Shuhaimi Embong berkata, program ini bukan sahaja bertujuan menyatukan jaringan usahawan Muslim, malah memperkukuh sinergi ke arah pembangunan ekonomi ummah berteraskan nilai Islam.

"Acara ini menghimpunkan usahawan dari pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, fesyen Muslimah, teknologi, pertanian serta perkhidmatan digital dengan matlamat mewujudkan ruang perkongsian ilmu, jaringan strategik dan peluang kerjasama rentas industri yang dapat memperkukuh daya saing dan kelangsungan perniagaan dalam kalangan usahawan Muslim tempatan.

“Setelah 10 tahun menyemai budaya keusahawanan berdaya tahan, Ku Haraki tampil dengan program himpunan ini sebagai simbol penyatuan semangat usahawan Muslim dalam mengangkat ekonomi bangsa secara kolektif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara pengisian utama program termasuk bengkel usahawan, pameran produk dan servis usahawan Muslim, sesi perkongsian bersama ikon-ikon usahawan, forum, slot Business to Business (B2B) dan showcase 200 produk usahawan di galeri Ku Haraki.

Program ini turut menampilkan Exco usahawan dari tiga negeri iaitu Kedah (Dr. Haim Hilman Abdullah), Kelantan (Mejar (B) Datuk Md. Anizam Ab Rahman) dan Terengganu (Datuk Ariffin Deraman) sebagai tetamu kehormat.

Beliau berkata, majlis ucaptama pula bakal disampaikan oleh konsultan, Datuk Dr. Mazlan Ahmad yang juga rakan strategik Ku Haraki sejak 2015.

"Program ini terbuka kepada orang ramai, khususnya usahawan dan bakal usahawan yang ingin memperluas jaringan, mendapatkan inspirasi serta menyokong produk tempatan berasaskan nilai Islam.

"Pendaftaran vendor masih dibuka dan boleh dibuat menerusi laman rasmi [www.kuharaki.my/himpunanusahawan] atau hubungi talian 017-645 2930 untuk maklumat lanjut," katanya. - DagangNews.com

standard