Johor luluskan 42 projek pusat data, pertimbang kelulusan tujuh lagi permohonan baharu

30/07/2025 - 16:06
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 30 Julai - Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan digital utama negara apabila tujuh lagi cadangan projek pusat data sedang dalam penilaian untuk kelulusan, menjadikan negeri itu antara peneraju transformasi digital di Asia Tenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, bagi menyelaras pertumbuhan sektor yang pesat itu, Pasukan Petugas Pembangunan Pusat Data telah ditubuhkan selaras aspirasi menjadikan Johor sebagai ibu kota digital rantau ini menjelang 2030.
“Pertaruhannya tinggi dan kita pastikan tiada kompromi dari segi perancangan bandar, pemeliharaan alam sekitar serta peluang pembangunan bakat tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Pasukan petugas itu diterajui PLANMalaysia Johor dan disertai agensi penting seperti Invest Johor, pihak berkuasa tempatan, Pejabat Tanah dan Galian, Badan Kawal Selia Air Negeri Johor, Bahagian Perancang Ekonomi, IRDA, MIDA, Ranhill SAJ dan Tenaga Nasional Berhad.
Turut memainkan peranan penting ialah Johor Special Water (JSW), utiliti milik kerajaan negeri yang membangunkan sistem air alternatif dan air kitar semula untuk pusat data berskala besar (hyperscale).
Semalam, mesyuarat kedua pasukan petugas yang dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han itu turut meneliti permohonan terbaharu pusat data.
Mohd Jafni berkata, sehingga suku kedua 2025, sebanyak 42 projek pusat data telah diluluskan di Johor, mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap keupayaan infrastruktur negeri dan dasar mesra pelabur yang dilaksanakan.
“Kita bukan sekadar mahu kelulusan yang pantas, malah turut menekankan prinsip pembangunan yang mampan termasuk menghadkan kelulusan baharu di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri bagi mengelakkan konflik guna tanah berhampiran kawasan kediaman.
“Antara lokasi strategik tumpuan pembangunan pusat data ialah Ibrahim Technopolis (IBTEC), Sedenak Tech Park dan Pasir Gudang, yang memiliki kelebihan dari segi rangkaian lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang, bekalan elektrik serta sumber air,” katanya.
Beliau berkata, projek-projek pusat data kini dianggap sebagai infrastruktur kritikal yang menyokong inisiatif seperti Zon Ekonomi Johor-Singapura (JSEZ) dan Pelan Induk Digital Johor, menjadikannya pemangkin kepada peralihan ekonomi berteknologi tinggi.
“Semua projek pusat data baharu di Johor kini diwajibkan mematuhi piawaian Tier-4 global dengan elemen tenaga boleh baharu, sistem penyejukan cekap tenaga dan teknologi rawatan air kitar semula.
“Usaha ini selari dengan dua matlamat utama Johor, membina ekonomi digital moden dan memastikan kelestarian alam sekitar jangka panjang.
“Pelabur juga diwajibkan menawarkan gaji berpatutan dan latihan kemahiran kepada rakyat Johor bagi melengkapkan mereka dalam ekonomi digital.
“Kita bukan sekadar membina bangunan pusat data, kita sedang membina masa depan Johor sebagai perintis digital Malaysia,” katanya. - DagangNews.com
featured standard



