Alpha Ocean labur RM360 juta projek pembangunan pelabuhan dan pelancongan di Kota Kinabalu

30/07/2025 - 14:44
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 30 Julai – Alpha Ocean Resources Bhd mengorak langkah dalam pengembangan portfolionya ke sektor infrastruktur apabila memeterai memorandum persefahaman (MoA) dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu bagi melaksanakan projek pemulihan bernilai RM360 juta di bandar raya berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, projek tersebut merangkumi pembangunan pelabuhan pendaratan bagi aktiviti penangkapan tuna dan perikanan laut dalam serta mewujudkan zon pelancongan dan hospitaliti maritim di kawasan waterfront Kota Kinabalu.
“Ia melibatkan dua lot tanah strategik di kawasan tepi laut bandar raya itu dengan potensi peluasan ke kawasan tambahan berkeluasan 16 ekar.
“Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek, Alpha Ocean dan Datuk Bandar Kota Kinabalu yang mewakili Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengurus pembangunan tersebut,” katanya.
Alpha Ocean akan memegang 70 peratus kepentingan dalam SPV manakala bakinya dimiliki oleh pihak Datuk Bandar atau entiti yang dilantik.
Syarikat itu turut bertanggungjawab terhadap pembiayaan, pembangunan dan operasi harian projek.
Berdasarkan MoA, Alpha Ocean diberi hak eksklusif untuk mengendalikan dan menyelenggara kawasan projek selama 30 tahun, yang boleh diperbaharui secara automatik bagi tempoh 30 tahun tambahan, dan lanjutan kali ketiga tertakluk kepada persetujuan bersama.
MoA yang dimeterai menetapkan terma awal kerjasama antara kedua-dua pihak dan memberikan tempoh satu tahun untuk memuktamadkan perjanjian usaha sama serta perjanjian konsesi yang lengkap.
Alpha Ocean berkata, projek ini sejajar dengan strategi syarikat untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan ke dalam sektor infrastruktur dengan memanfaatkan kekuatannya dalam industri makanan laut.
“Projek ini bakal mewujudkan platform pertumbuhan mampan selain memperluas kehadiran Alpha Ocean di Sabah serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Kota Kinabalu. - DagangNews.com
standard


