1.27 juta pembiayaan mikro RM14.56 bilion disalur sejak 2023

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 12:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 1.27 juta pembiayaan mikro RM14.56 bilion disalur sejak 2023

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1.27 juta pembiayaan bernilai RM14.56 bilion disalurkan kepada usahawan mikro menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional dan Bank Rakyat bagi tempoh 2023 hingga September lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Mohamad Alamin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 212,910 pembiayaan baharu bernilai RM2.19 bilion disalurkan menerusi AIM dan Tekun Nasional, manakala 1.05 juta pembiayaan berulang bernilai RM12.13 bilion turut direkodkan.

“Pembiayaan berulang penting bagi membantu usahawan mendapatkan modal tambahan untuk meningkatkan kapasiti operasi, menambah modal pusingan dan mengembangkan perniagaan.

“Bagi aspek peningkatan skala perniagaan, seramai 8,008 usahawan mikro di bawah AIM direkodkan berjaya meningkat kepada kategori perusahaan kecil atau sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN- Masjid Tanah) yang ingin tahu peratusan usahawan mikro yang menerima pembiayaan dan bantuan agensi kementerian bagi tempoh 2023 hingga 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2025, terdapat 1,000,876 perusahaan mikro di negara ini, mewakili 77.4 peratus daripada keseluruhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata, pembiayaan mikro disediakan Kuskop bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan modal perniagaan, menjamin kelangsungan pendapatan serta membuka peluang keluar daripada kemiskinan.

Dalam pada itu, prestasi pembayaran balik pembiayaan turut menunjukkan perkembangan positif apabila kadar pembiayaan tidak berbayar (NPL) Tekun Nasional menurun daripada 12.66 peratus pada 2023 kepada 8.60 peratus sehingga September 2026.

“Bagi Bank Rakyat, kadar pembiayaan tidak berbayar (NPF) turut menurun daripada 15 peratus pada 2023 kepada 11 peratus sehingga September 2026.

“AIM pula merekodkan kadar berkenaan sebanyak 0.09 peratus pada 2023, 0.02 peratus pada 2024 dan sifar peratus pada 2025,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

The post 1.27 juta pembiayaan mikro RM14.56 bilion disalur sejak 2023 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved