Hampir RM11 bilion STR, SARA disalur kepada penerima layak setakat September 2026 - MoF

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 10:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hampir RM11 bilion STR, SARA disalur kepada penerima layak setakat September 2026 - MoF
Kerajaan sentiasa memastikan peruntukan STR dan SARA sebanyak RM15 bilion bagi 2026 memberi manfaat kepada rakyat.

KUALA LUMPUR - Jumlah bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan kepada penerima yang layak mencecah hampir RM11 bilion sehingga September 2026.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), setakat bulan lepas, sebanyak RM3.6 bilion telah disalurkan kepada penerima STR melalui tiga fasa bayaran.

Kementerian itu menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa memastikan peruntukan STR dan SARA sebanyak RM15 bilion bagi 2026 memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan kumpulan rentan.

"Pada tahun ini, hampir sembilan juta rakyat layak menerima SARA secara bulanan, manakala STR disalurkan secara suku tahunan kepada isi rumah dan warga emas yang layak.

"Keberkesanan pelaksanaan STR dan SARA dapat dinilai melalui beberapa aspek, termasuk liputan penerima, penggunaan bantuan, ketepatan sasaran dan keupayaan bantuan memenuhi keperluan asas,” menurut MOF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.

MoF menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai keberkesanan peruntukan RM15 bilion bagi STR dan SARA berdasarkan perbelanjaan asas dan penyalurannya kepada rakyat berpendapatan rendah.

Menurut kementerian itu lagi, mengenai penggunaan, setakat September 2026, SARA bulanan mencatat kadar penggunaan sebanyak 99.7 peratus dengan nilai transaksi sebanyak RM5.2 bilion.

Sementara itu, bagi SARA Untuk Semua pula, lebih 20 juta rakyat telah membuat perbelanjaan iaitu sebanyak 90 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai transaksi di pasaran tempatan hampir RM1.9 bilion. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved