liza21/10/2026 - 15:48 Ariffin (Tengah) bersama sebahagian usahawan yang menerima pembiayaan daripada YPU Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 21 Okt – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) telah menyalurkan pembiayaan dan geran berjumlah RM36.21 juta kepada 7,177 usahawan di negeri itu sejak 2019 menerusi pelbagai skim bantuan keusahawanan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Datuk Arrifin Deraman berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri membantu usahawan mendapatkan modal untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan.
Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM1.6 juta menerusi Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2026 dengan RM50,000 diperuntukkan bagi setiap daripada 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.
“Dana itu bertujuan membantu usahawan, khususnya golongan belia dan peniaga kecil, mendapatkan sokongan kewangan bagi memenuhi keperluan perniagaan.
“Peruntukan berkenaan boleh digunakan untuk mendapatkan peralatan perniagaan, menambah baik operasi, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh pemasaran produk dan perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Majlis Penyerahan Replika Cek Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kali ketiga 2026 di sini.
RM1.07 juta disalurkan kepada 172 usahawan
Pada majlis sama, sebanyak RM1.07 juta diperuntukkan bagi pembiayaan dan dana YPU kepada 172 usahawan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.0579 juta melibatkan Skim Pembiayaan TUGAS kepada 169 usahawan, manakala RM12,278.48 diperuntukkan menerusi geran DUIT dan D-HATI kepada tiga usahawan.
TUGAS diperkenalkan pada 2019 sebagai salah satu instrumen kerajaan negeri untuk membantu usahawan mendapatkan pembiayaan bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Arrifin turut mengingatkan penerima pembiayaan supaya melaksanakan bayaran balik mengikut jadual yang dipersetujui kerana skim berkenaan menggunakan konsep dana pusingan.
Melalui konsep itu, bayaran balik yang diterima akan digunakan semula bagi membantu lebih ramai usahawan mendapatkan pembiayaan pada masa hadapan.
RM250,000 untuk pembiayaan Bazar Ramadan 2027
Sementara itu, YPU turut menyediakan RM250,000 menerusi Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan (SPBAR) 2027 yang menyasarkan 130 ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu.
Skim itu bertujuan membantu peniaga kecil mendapatkan modal pusingan bagi membeli bahan mentah, menyediakan peralatan, mendapatkan bekalan serta menampung kos operasi sepanjang Ramadan.
Menurut Arrifin, pembiayaan itu diharap dapat membantu peniaga meningkatkan pendapatan keluarga dan mengembangkan perniagaan, termasuk meneruskan operasi selepas berakhirnya Ramadan.
Beliau berkata, kejayaan sesuatu skim keusahawanan bukan hanya bergantung pada jumlah dana yang disalurkan, tetapi juga hasil yang dicapai penerima melalui pengurusan perniagaan yang baik.
Justeru, YPU diharap meneruskan pemantauan, penilaian impak dan penambahbaikan terhadap inisiatif yang dilaksanakan bagi memastikan pembiayaan serta bantuan yang disediakan memberikan manfaat kepada usahawan dan ekonomi negeri. - DagangNews.com






