
PUTRAJAYA- Seramai 1,476 warga Myanmar akan dihantar pulang pada 29 September ini menerusi pelaksanaan fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela 5,000 pelarian dari negara tersebut yang dimuktamadkan kerajaan baru-baru ini.
Kementerian Dalam Negeri berkata, proses penghantaran pulang warga asing itu menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
“Fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela akan dilaksanakan pada 29 September ini melibatkan seramai 1,476 warga Myanmar yang dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar melalui Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos.
“Tarikh itu dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Pada tahun 2026, seramai 4,008 orang terutama etnik Rohingya akan dimasukkan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), manakala 5,000 individu lain akan menjalani proses penghantaran pulang secara sukarela secara berperingkat seperti yang dipersetujui oleh Myanmar.
KDN berkata, setakat 15 Ogos lalu, terdapat seramai 10,388 warga Myanmar yang berada di Depot Tahanan Imigresen.
“Adalah ditegaskan bahawa jumlah ini merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.
“Jabatan Imigresen dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia sedang melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian dan latar belakang keselamatan setiap individu. Proses pendaftaran DPP dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun ini,” katanya.
Jelas KDN, kerajaan menggunakan dua strategi termasuk melakukan rundingan diplomatik dengan Myanmar bagi memastikan pengambilan semula rakyat negara itu dapat dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan bertanggungjawab.
“Kedua, melaksanakan pendaftaran individu yang mendakwa pelarian dan pemohon suaka melalui DPP. Ia bagi membolehkan kerajaan memperoleh maklumat yang menyeluruh dan tepat mengenai keberadaan golongan tersebut,” katanya.
KDN berkata, data itu seterusnya digunakan bagi tujuan pemantauan, penguatkuasaan serta
perancangan pengurusan dan penyelesaian akhir, termasuk penghantaran pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan.
“Kedua-dua cabang strategi ini perlu dilaksanakan secara serentak dan saling melengkapi. Usaha penghantaran pulang memerlukan data yang tepat dan terkini mengenai individu yang terlibat.
“Manakala pelaksanaan pendaftaran
melalui DPP pula perlu disokong oleh hala tuju penyelesaian yang jelas bagi memastikan mekanisme tersebut tidak sekadar menjadi sutu bentuk pendaftaran, tetapi sebahagian daripada pendekatan kerajaan lebih menyeluruh terhadap pengurusan pelarian dan pemohon suaka,” katanya.
Program DPP akan diperluaskan kepada pendatang asing tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa pelarian.
Pendaftaran akan diwajibkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi lengkap serta tepat sebagai asas kepada pelaksanaan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan demi kepentingan keselamatan negara. – KOSMO! ONLINE
The post 1,476 warga Myanmar dihantar pulang guna tiga kapal appeared first on Kosmo Digital.




