
PUTRAJAYA, 27 OGOS: Seramai 1,476 warga Myanmar akan dihantar pulang secara sukarela pada 29 September ini menerusi fasa pertama program penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar yang telah dimuktamadkan oleh kerajaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses penghantaran pulang kumpulan pertama itu akan menggunakan dua kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
“Tarikh tersebut dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan yang melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik serta penyelarasan,” menurut kenyataan itu.
KDN memaklumkan kerajaan MADANI sedang dan akan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan kerajaan Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur dan bermaruah serta dipersetujui oleh kedua-dua negara.
Menurut KDN, lebih 95 peratus pelarian di negara ini berasal dari Myanmar, termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon.





