PUTRAJAYA - Kerajaan telah memuktamadkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela 5,000 pelarian rakyat Myanmar yang layak ke negara asal.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan seramai 1,476 warga Myanmar akan dihantar pulang ke negara asal menerusi fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela yang akan dilaksanakan pada 29 September ini.
Menurutnya, kesemua individu terbabit dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar menerusi Nota Diplomatik No. 649/47 01(2026) bertarikh 13 Ogos lalu.
"Tarikh tersebut dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan yang melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan, berbanding cadangan asal Kerajaan Myanmar pada 28 Ogos 2026.
"Proses penghantaran pulang akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada masa sama, KDN memaklumkan seramai 4,008 warga Myanmar terutama etnik Rohingya akan disalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi tahun ini.
Tambahnya, terdapat 10,388 warga Myanmar di Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara sehingga 15 Ogos lalu.
"Perlu ditegaskan bahawa jumlah ini merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.
"Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia sedang melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu," katanya lagi.
Menurut KDN, proses pendaftaran DPP golongan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun 2026.
Tambah KDN, program DPP akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.
"Individu yang memenuhi syarat dan melepasi proses pendaftaran DPP akan diberikan Kad DPP sebagai dokumen pendaftaran yang membolehkan mereka tinggal secara sementara tertakluk kepada syarat, kawalan dan pemantauan yang ditetapkan oleh Kerajaan.
"KDN akan terus mengenal pasti individu yang layak dan bersetuju untuk pulang secara sukarela manakala, Kementerian Luar Negeri pula akan menyelaras pelaksanaan penghantaran pulang bersama Kerajaan Myanmar atau Kerajaan negara yang terlibat secara berperingkat," katanya.
Jelasnya, lebih 95 peratus pelarian di negara ini berasal daripada Myanmar, termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon.
"Isu kehadiran pelarian telah dibiarkan berlarutan tanpa sebarang penyelesaian tuntas oleh pentadbiran terdahulu dan kini ia menjadi beban kewangan yang besar, mencetuskan masalah sosial yang serius dan mewujudkan ancaman keselamatan nyata kepada negara.
"Pelaksanaan DPP ini dapat memperkukuh aspek keselamatan melalui pemilikan data biometrik yang tepat dan sahih, mengurangkan ruang kepada kewujudan ekonomi bayangan serta memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat tempatan terus terpelihara dan diutamakan," ujarnya.





