Empat lelaki cuba curi kabel dalam UUM dicekup

29 Oct 2026 • 9:48 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Empat lelaki cuba curi kabel dalam UUM dicekup

JITRA – Empat daripada tujuh lelaki ditahan selepas disyaki cuba mencuri kabel di kawasan berhampiran sebuah bangunan di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, dekat sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 30 tahun ditahan pasukan keselamatan universiti itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian, anggota polis bantuan UUM menerima maklumat mengenai kehadiran individu mencurigakan berhampiran lokasi berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Mereka kemudian mendapati tiga kereta jenis BMW, Volkswagen dan Perodua Myvi berada berhampiran lurang (manhole) kabel yang telah dibuka.

“Pasukan keselamatan kemudian menyerbu kumpulan suspek itu selepas melihat tujuh individu keluar dari kenderaan masing-masing dan menuju ke arah lubang tersebut,” katanya, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kesemua suspek bertindak melarikan diri menggunakan kenderaan masing-masing sebelum seorang daripada mereka berjaya ditahan di dalam kereta BMW di lokasi kejadian bersama peralatan curi kabel.

“Seorang lagi suspek ditahan di dalam kereta Volkswagen berhampiran pintu utama UUM selepas kenderaan itu melanggar dua kenderaan lain.

“Dua lagi suspek ditahan hasil tindakan susulan pasukan keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan perumahan UUM, manakala kereta Perodua Myvi yang digunakan kumpulan itu ditemukan ditinggalkan tanpa pemandu di kawasan universiti,” ujarnya.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan tiga bilah pemotong besi, sebilah kapak, dua alat pembuka penutup lubang pembetung kabel, satu alat penegang tali serta sekeping nombor pendaftaran kenderaan yang disyaki palsu.

“Siasatan awal mendapati kereta BMW dan Volkswagen berkenaan dipercayai kenderaan klon Singapura milik suspek, manakala Perodua Myvi disewa di Pulau Pinang oleh seorang lagi suspek yang masih bebas,” jelasnya.

Ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, kesemua mereka yang mempunyai pelbagai rekod berkaitan dadah direman selama empat hari sehingga 1 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

The post Empat lelaki cuba curi kabel dalam UUM dicekup appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved