KUALA LUMPUR – Seramai 10,677 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun penilaian 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi kerja, disiplin dan integriti sepanjang menjalankan tugas.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pemilihan untuk tahun penilaian 2025 itu dibuat bersandarkan kriteria yang jauh lebih kompetitif berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Pihak penilai melakukan saringan secara penuh teliti bagi memenuhi kuota lapan peratus penerima APC, daripada keseluruhan kekuatan PDRM seperti yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya dalam ucapan pada Majlis APC Tahun 2025 PDRM di Mes Pegawai Kanan PDRM, Bukit Aman di sini pada Selasa.
Mohd Khalid berkata, penanda aras (KPI) bagi penganugerahan APC tahun ini ditingkatkan bagi menyokong hasrat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi.
"Perlu saya tegaskan di sini bahawa kriteria pemilihan pada tahun ini diperketat secara signifikan dengan syarat minimum markah prestasi tahunan ditingkatkan daripada 85 peratus kepada 90 peratus," katanya.
Beliau berkata, peningkatan KPI berkenaan adalah bertujuan memastikan hanya warga PDRM yang mempamerkan kualiti kerja luar biasa dan mempunyai disiplin kendiri yang teguh serta bebas daripada sebarang tindakan tatatertib sahaja yang layak diiktiraf.
"Selain itu, tahap kecemerlangan warga PDRM turut dinilai secara menyeluruh melibatkan keseimbangan mental, fizikal dan sahsiah termasuk rekod kehadiran yang baik, pencapaian Indeks Jisim Badan (BMI) ideal, serta penglibatan aktif dalam aktiviti luar tugas rasmi," katanya.
Untuk rekod, penerima APC bagi tahun penilaian 2025, terdiri daripada 1,090 Pegawai Kanan Polis, 8,612 Pegawai Rendah Polis dan 975 Pegawai Awam.
Semua penerima membawa pulang Sijil APC berserta insentif akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime yang berjumlah RM1,000.
Inisiatif berkenaan adalah hasil kolaborasi strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang kini telah memasuki tahun ketujuh pelaksanaannya sebagai pelaburan masa depan khusus bagi membiayai pendidikan anak-anak penerima.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata, integriti kekal sebagai teras utama yang tidak boleh dikompromi dalam perkhidmatan, dan kecemerlangan sebenar dinilai menerusi tahap kepuasan serta keyakinan masyarakat terhadap pasukan.
"Bekerjalah dengan hati untuk terus memberi. Cemerlang bukan kerana terpilih tetapi memilih untuk terus berbakti," katanya.





