
SERAMAI 10 artis Sabah menembusi dalam senarai Top 5 bagi merebut trofi Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang diumumkan pada Rabu.
Bakat Sabah yang tersenarai kelompok lima terbaik daripada 27 kategori yang dipertandingkan dalam anugerah muzik berprestij itu termasuk Ryenald Guntabid, Arddley Nicholas, Marsha Milan, Adira Suhaimi dan Stacy Anam.
Juga tercalon adalah Dabra Sia dan Tuni Sundatang, Elica Paujin, Eylia Guntabid dan Den Bisa.
Paling menarik perhatian pastinya adalah kategori Vokal Lelaki Terbaik apabila pemenang edisi AIM24 Reynald dan pemenang edisi AIM23 Arddley tercalon dalam kelompok lima terbaik bersama-sama Hazama menerusi Aku Bukan Narsisis, Pasya (Aku Bukan Cinta) dan Syamel (Beribu Tanda Tanya).
AIM25 menyaksikan Reynald tercalon menerusi lagu Gagal Setia manakala Arddley menerusi lagu Sandiwara Cinta. Menariknya kedua-duanya juga adalah bakat dari Tambunan.
Sebelum ini Reynald memenangi kategori Vokal Lelaki Terbaik AIM24 menerusi lagu Lumangad Oku Dika pada 2025 sementara Arddley pula dengan lagu Pilu pada AIM23 pada 2024.
Selain itu artis Sabah juga mendominasi kategori Lagu Borneo Terbaik yang baharu diperkenalkan pada edisi kali ini.
Tiga penyanyi Sabah tersenarai dalam lima kelompok terbaik untuk kategori berkenaan iaitu Elica menerusi Potilombuson, Eylia (Sumanwagu / Sumandak Tanakwagu) dan Den Bisa (Lampa-Lampa Pisang).
Dua lagi adalah penyanyi dari Sarawak iaitu Julai Billie (Nadai Dua Tiga) dan Mawat (Dayang Bintang).
Sementara itu Marsha menjadi artis Sabah dengan pencalonan terbanyak dalam tiga kategori termasuk Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Tangisan Seorang Pendosa, Lagu Etnik Terbaik menerusi Pelangi Pasti dan Nalan Nalan serta Kulit Single/Album Terbaik menerusi album Misompuru.
Stacy pula tercalon dalam dua kategori iaitu Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik dengan lagu Mega Ching! dan Lagu Perpaduan Terbaik menerusi karya Selamanya.
Juga tercalon dalam dua kategori adalah Dabra Sia dan Tuni Sundatang.
Lagu mereka Tangon II: Sundu Bambarayon tersenarai dalam lima kelompok terbaik untuk Video Muzik Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.
Elica juga berjaya menembusi dua kategori iaitu Lagu Borneo Terbaik menerusi Potilombuson dan Rakaman Lagu Terbaik menerusi Terbaik Untukku.
Akhir sekali, Adira pula tersenarai dalam Top 5 kategori Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik bersama Black Hanifah menerusi Memilih Kamu.
Juga tercalon adalah 4forty dan Jaclyn Victor (Cinta Sampai Akhir), Aina Abdul dan Amir Jahari (Ayuh Pulang), Hael Husaini dan Nadeera (Peluk) serta Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama Amir Masdi (Mahkota).






