10 bekas presiden Majlis Peguam gesa kerajaan Persekutuan campur tangan kemelut Negeri Sembilan

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 10 bekas presiden Majlis Peguam gesa kerajaan Persekutuan campur tangan kemelut Negeri Sembilan
Suasana di sekitar Wisma Negeri dilihat terkawal ketika tinjauan pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sepuluh bekas presiden Majlis Peguam menggesa kerajaan Persekutuan campur tangan dan menyelesaikan kemelut perlembagaan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Dalam kenyataan pada Isnin, mereka menyifatkan perkembangan terbaharu membabitkan Tuanku Muhriz itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap sistem raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Kami menggesa kerajaan Persekutuan campur tangan dan menyelesaikan isu-isu yang membimbangkan itu. Keadaan berkenaan boleh membahayakan sistem raja berperlembagaan dan masa hadapan negara - sebuah negara yang pada setiap masa perlu berlandaskan undang-undang dalam menentukan hala tuju. 

"Tindakan yang tidak wajar dan tidak bermaruah sedemikian, serta sikap tidak menghormati undang-undang perlu dihentikan,” kata mereka.

Sepuluh peguam berkenaan ialah Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Datuk Lim Chee Wee, Christopher Leong, Datuk George Varughese, Salim Bashir dan Karen Cheah Yee Lynn.

Mereka menyatakan tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan itu tanpa melalui proses yang sepatutnya di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Perkara 10 memperuntukkan "siasatan lengkap oleh Undang” sebelum seseorang Raja boleh diturunkan takhta, dan mempersoalkan sama ada siasatan sedemikian telah dijalankan serta sama ada Tuanku Muhriz telah diberi peluang untuk memberikan penjelasan.

Para peguam itu turut mempersoalkan kesahihan proklamasi yang didakwa bertarikh 19 April 2026, termasuk keadaan bagaimana ia ditandatangani oleh Menteri Besar pada 3 Ogos.

Peguam berkenaan berkata, Exco tidak mempunyai kuasa dari segi perlembagaan untuk bertindak menurunkan seseorang Raja daripada takhta secara unilateral dan menggesa semua pihak supaya menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta UUTKNS 1959.

Kumpulan itu turut merujuk kepada pendirian Jabatan Peguam Negara bahawa proklamasi itu tidak sah dan Menteri Besar serta Exco tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan terhadap proklamasi itu.

"Kami menggesa supaya serangan terhadap kedaulatan berperlembagaan institusi beraja Negeri Sembilan dan kedaulatan undang-undang ini dihentikan serta-merta. 

"Kami menggesa dengan tegas Kerajaan Negeri Sembilan, semua pegawai awam dan seluruh rakyat Malaysia supaya menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan UUTKNS 1959, memelihara kedaulatan undang-undang serta menghormati sepenuhnya kedaulatan dan kedudukan berperlembagaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan sedang memerintah,” kata mereka.

Para peguam itu berkata, Exco juga tertakluk kepada undang-undang dan tindakan menyalahi peraturan perlu dibendung. - Bernama

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved